MELAKA: Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai bakal menikmati kemudahan kesihatan moden apabila kerajaan meluluskan pembinaan sebuah klinik kesihatan (KK) jenis tiga bernilai RM43.3 juta dan dijangka siap pada 2027.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka, Datuk Siti Faizah Abdul Azis berkata, projek itu akan ditenderkan awal tahun depan di tapak bersebelahan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Rambai dengan keluasan kira-kira 3.05 hektar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai itu berkata, ia menampilkan reka bentuk baharu yang lengkap dengan fasiliti moden termasuk pusat rehabilitasi dan lif, sekali gus menjadikannya antara KK terlengkap di negeri ini.
“Ini adalah pembangunan yang telah lama dinantikan rakyat Sungai Rambai kerana klinik sedia ada tidak lagi mampu menampung keperluan memandangkan lebih 30 kawasan perumahan baharu wujud di sini.
“Dengan pembinaan klinik baharu ini, ia bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk tempatan malah masyarakat sekitar Kesang, Muar dan Kampung Tasik, Johor yang turut mendapatkan rawatan di sini,” katanya selepas menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang, dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi Ke-76 Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam di Seri Negeri di sini, hari ini.
Siti Faizah berkata, projek itu melambangkan keprihatinan kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan untuk memastikan rakyat menikmati akses rawatan lebih selesa serta menyeluruh.
Katanya, selain klinik tersebut, Sungai Rambai turut menerima suntikan pembangunan lain termasuk projek menaik taraf Dataran Riverside bernilai RM4 juta yang akan ditender pada September ini.
“Dataran Riverside yang dahulu terkenal dengan Laman Belia akan dinaik taraf bagi menjadi tarikan baharu di pintu masuk gerbang selatan Melaka,” katanya. – UTUSAN










