IPOH: Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta menemukan pelbagai jenis tembaga dan jentera bernilai RM8.5 juta selepas melakukan serbuan di sebuah kilang yang beroperasi secara haram di Simpang Pulai di sini semalam.
Operasi bermula pukul 7 pagi hingga 8 malam itu dijalankan oleh Cawangan Risik Briged Utara bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Perak, Majllis Perbandaran Batu Gajah (MPBG) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak.
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, serbuan di kilang tanpa lesen itu turut membawa kepada tangkapan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an.
Katanya, siasatan mendapati premis tersebut menjalankan aktiviti memproses habuk dan bahan mentah tembaga kepada sekerap disyaki untuk dieksport ke luar negara.
“Berdasarkan risikan yang dijalankan selama sebulan, aktiviti di kilang itu telah berlangsung lebih setahun dan hasil pemeriksaan mendapati premis tersebut beroperasi tanpa kelulusan dari Jabatan Alam Sekitar.
“Dalam operasi itu, kita merampas pelbagai jenis bahan tembaga, jentera dan mesin dengan nilai anggaran rampasan berjumlah RM8,586,000,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan kes dijalankan di bawah Seksyen 34A dan Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 selain tindakan diambil oleh JAS Perak melalui penahanan operasi kelengkapan di bawah Seksyen 38(1)(a), Akta 127.
Katanya kes itu juga disiasat di bawah Seksyen 113(2) Akta Cukai Pendapatan 1967 dimana kesalahan membuat pengisytiharan yang tidak betul.
“Pihak pasukan giat melakukan pengawasan dan rondaan sekitar Perak, Pulau Pinang dan Kedah bagi mengekang aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang.
“Kita akan terus komited dan konsisten dalam menggerakkan tindakan penguatkuasaan dan tidak akan sesekali berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang,” katanya.
Tambah beliau, masyarakat diseru menjadi mata dan telinga bagi menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa berhubung aktiviti yang menyalahi undang-undang supaya tindakan segera dapat diambil. – UTUSAN