Kestabilan politik penting untuk kemerdekaan - Johari

Kestabilan politik penting untuk kemerdekaan – Johari

JOHARI Abdul Ghani (tengah) mengibarkan Jalur Gemilang pada Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Kibar Jalur Gemilang Kementerian Perladangan dan Komoditi Tahun 2025 di perkarangan Menara Lembaga Getah Malaysia, hari ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kestabilan politik menjadi elemen utama kejayaan negara membangun sejak merdeka, sekali gus menjadi prasyarat penting bagi memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pengalaman negara selama ini membuktikan suasana politik yang stabil membolehkan dasar pembangunan dilaksanakan dengan berkesan.

Katanya, kestabilan itu penting bagi mana-mana negara untuk membangunkan ekonomi kerana ia membolehkan perancangan yang baik.

“Jadi negara ini telah dapat dibangunkan dengan begitu baik kerana kita mempunyai kestabilan politik. 

“Sudah tentu kestabilan politik ini sangat penting oleh mana-mana negara untuk membangunkan ekonomi mereka kerana dengan adanya kestabilan politik maka kita boleh dapat membangunkan ekonomi dengan begitu baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Kibar Jalur Gemilang Kementerian Perladangan dan Komoditi Tahun 2025, hari ini.

Dalam perkembangan lain, kata Johari, Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) sedang bekerjasama dalam menyatukan kawasan getah yang tidak diusahakan.

Katanya, ia bagi mengusahakan semula kebun getah terbiar milik pekebun kecil sebagai langkah mengaktifkan semula pengeluaran bagi mengurangkan kebergantungan getah import.

“Dulu kita pengeksport pertama dunia tapi sekarang kita telah mengimport getah kerana hasil getah ini tidak dapat diusahakan dengan begitu baik, maka kita akan cuba mengurangkannya.

“Ini on-going, siapa ada tanah datang, kita buat jadi kita telah nampak ada peningkatan dari segi pengeluaran getah kita,” katanya.

Tambahnya, penanaman semula komoditi tersebut juga sedang ditekankan kerajaan terutama dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RM13).

“Penanaman semula juga kita akan teruskan. Dalam RMK ini ada sektor-sektor komoditi yang akan ditekankan oleh kerajaan untuk membantu pekebun-pekebun kecil.

“Ia untuk dapat menanam semula semua komoditi mereka supaya ia dapat menjadi sumber yang berterusan kepada negara kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN