BUKIT MERTAJAM : Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengingatkan semua pihak supaya tidak menokok tambah cerita atau menyebarkan spekulasi berhubung kes buli membabitkan Zara Qairina Mahathir, 13, bagi mengelakkan gangguan terhadap siasatan yang sedang berlangsung.
Beliau menegaskan, siasatan kes tersebut kini dikendalikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan orang ramai diminta memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikan kes itu secara telus dan berintegriti.
“Kita semua mahu keadilan, tetapi, dalam masa yang sama, kita perlu beri kepercayaan kepada pihak berkuasa.
“Jadi, jangan tambah-tambah cerita yang bukan-bukan. Jangan cetuskan fitnah dan spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Cek Cura Sekolah Autistik di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mengulas penularan gambar kanak-kanak yang dikaitkan dengan kes tersebut di media sosial dan mengingatkan bahawa perkara itu telah ditegaskan oleh Jabatan Peguam Negara, PDRM serta Kementerian Komunikasi bahawa penyebaran gambar kanak-kanak adalah dilarang.
“Seruan ini penting. Kita mahu siasatan berjalan secara kemas, telus dan tidak diganggu,” ujar beliau.
Fadhlina berkata, KPM akan terus beri kerjasama penuh kepada siasatan dan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk fitnah terhadap mana-mana pihak termasuk pelajar dan guru.
“Jika ada yang terlibat, kita beri komitmen terhadap siasatan. Tetapi jika muncul fitnah dan tuduhan tidak benar, maka, kita mesti pastikan ia tidak berlarutan.
“Laporan polis juga perlu dibuat demi melindungi maruah dan keselamatan mereka yang sepatutnya dilindungi terutama anak-anak dan guru-guru kita,” katanya yang turut menggesa masyarakat agar mendukung proses siasatan tanpa menyebarkan maklumat yang belum disahkan.-UTUSAN