PETALING JAYA: DAP akan menaja pemasangan bendera Jalur Gemilang gergasi di sebuah premis di Pulau Pinang petang ini bagi membolehkan orang ramai melihat dengan jelas bendera tersebut telah dipasang dengan betul.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, berkata sekiranya terdapat mana-mana pihak yang cuba mengganggu ketenteraman di sekitar premis berkenaan, ahli-ahli DAP Pulau Pinang akan bertindak menyambut mereka dengan mengedarkan 831 helai Jalur Gemilang secara percuma sebagai simbol semangat perpaduan menjelang sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos.
Katanya, tindakan sesetengah pihak yang didakwa cuba memberi tekanan secara terbuka kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) agar mendakwa pemilik kedai yang tersilap memasang bendera Jalur Gemilang di hadapan premis tersebut juga tidak sepatutnya dibesar-besarkan.
“Tindakan itu adalah satu campur tangan yang tidak wajar dan berusaha mempengaruhi keputusan pendakwaan tanpa pertimbangan sewajarnya.
“Pihak Peguam Negara harus diberi kebebasan penuh untuk membuat keputusan tanpa sebarang tekanan politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh mendesak agar pihak pendakwa raya mengambil tindakan segera terhadap individu yang terlibat dalam kes pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di Pulau Pinang.
Muhamad Akmal memberikan tempoh dua hari bermula hari ini sehingga esok untuk pendakwaan dijalankan, selepas polis memaklumkan kertas siasatan akan diserahkan kepada pihak pendakwa raya semalam.
Sebelum ini, sebuah video berdurasi 21 saat tular menunjukkan seorang lelaki memasang Jalur Gemilang secara terbalik pada sebatang kayu atau besi panjang sebelum mengibarkannya, manakala seorang lagi merakamkan aksi tersebut.
Siew Fook turut menyifatkan ugutan untuk mengadakan protes di kedai tersebut sekiranya tiada tindakan pendakwaan diambil dalam masa terdekat adalah sebagai tindakan buli yang jelas tidak boleh diterima.
“Tindakan buli bukan sahaja harus ditentang di sekolah, bahkan buli terhadap warga emas juga harus dibantah dengan tegas.
“Bagi menangani pihak yang kurang matang ini, kewarasan dan pendekatan yang aman serta beradab perlu dijadikan landasan,” katanya. – UTUSAN










