KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan kertas siasatan berhubung kes kematian pelajar, Zara Qairina Mahathir akan dirujuk semula ke Pejabat Peguam Negara (AGC) esok.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar S. Muthuvelu berkata, tindakan itu dibuat bagi mendapatkan nasihat dan arahan susulan hasil siasatan lanjut yang dijalankan.
Katanya, ia selepas pasukan khas JSJ Bukit Aman melengkapkan proses siasatan tambahan bagi memperkemaskan fakta kes berkenaan.
“Sehingga kini, seramai 195 saksi telah diambil keterangan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah. Ia melibatkan pelajar, guru, pegawai perubatan, warden, pengawal keselamatan, ibu bapa dan saksi-saksi lain yang berkaitan.
“Kertas siasatan akan dirujuk semula ke AGC pada 18 Ogos (esok) ini bagi mendapatkan arahan dan nasihat selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, siasatan polis menumpukan kepada dua aspek utama iaitu berkaitan inkues dan kemungkinan wujudnya unsur jenayah lain seperti kejadian buli serta penularan berita palsu.
“PDRM dalam pada itu menasihatkan masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau mencetuskan sentimen yang boleh menjejaskan keharmonian awam sambil memberi jaminan bahawa siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus tanpa melindungi mana-mana pihak,” katanya.
Zara Qairina iaitu pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Sabah, ditemukan tidak sedarkan diri dekat longkang asrama sekolah pada pasa 3 pagi, 16 Julai lalu.
Pada 1 Ogos lalu, Ibu Zara Qairina memohon mayat anaknya digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan, demi mendapatkan jawapan dan keadilan manakala peguam diarah memulakan proses undang-undang bagi penggalian semula mayat.
Susulan itu, AGC memulangkan kertas siasatan kepada polis dengan mengarahkan tindakan lanjut termasuk penggalian semula mayat Zara Qairina bagi membolehkan bedah siasat dijalankan pada 9 Ogos lalu.
10 Ogos lalu, mayat pelajar itu digali semula dari Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi di Sipitang pada kira-kira pukul 7.30 malam.
13 Ogos lalu, M. Kumar dilaporkan berkata, dapatan bedah siasat ke atas Allahyarham Zara Qairina adalah selari dengan diagnosis awal, iaitu kecederaan otak teruk akibat kekurangan oksigen dan aliran darah ke otak konsisten dengan jatuh.
Beliau dilaporkan berkata, bedah siasat 10 Ogos itu dihadiri tiga doktor, masing-masing seorang dari Hospital Serdang dan dua dari Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.
Pelajar Tingkatan Satu itu ditemukan tidak sedarkan diri di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datuk Mustapha di Papar pada 16 Julai dan meninggal dunia keesokannya di Hospital Queen Elizabeth.- UTUSAN










