KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) Sabah sedia bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS), namun hanya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, langkah itu disebabkan pertindihan kerusi yang tidak dapat dielakkan antara UMNO dan GRS.
“Kerjasama boleh berlaku selepas pilihan raya, tiada yang mustahil. Tetapi sekarang radu (lawan) dulu. Kita bertembung di 11 kerusi, termasuk kerusi saya yang mereka mahu ambil,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Presiden GRS merangkap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, mengesahkan gabungan itu akan terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), manakala Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun, menyifatkan kerjasama itu penting bagi kestabilan politik dan pembangunan negeri.
Mengulas perkembangan itu, Bung menegaskan UMNO-BN Sabah tidak mempunyai sebarang rundingan dengan GRS untuk menghadapi PRN.
“Kerjasama GRS-PH itu urusan mereka. UMNO-BN Sabah tidak terganggu dan fokus kepada persiapan jentera sendiri,” katanya.
Beliau turut menyentuh kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekankan perpaduan politik, namun, menurut Bung Moktar, realiti di Sabah berbeza.
“Perpaduan sukar dicapai kerana tuntutan kerusi. Banyak parti bertembung dengan kerusi yang sama,” katanya.
Bung Moktar menegaskan, BN Sabah akan bertanding secara bersendirian pada PRN nanti dan hanya mempertimbangkan kerjasama selepas keputusan pilihan raya diketahui. – UTUSAN










