Kerajaan Johor bantu baik pulih kediaman uzur Mat Sentol

Kerajaan Johor bantu baik pulih kediaman uzur Mat Sentol

KHAIRIN-NISA Ismail (tengah) menyantuni Mat Sentol di kediaman keluarganya di Larkin, Johor Bahru, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan membantu membaik pulih kediaman keluarga pelakon dan pelawak legenda tanah air era 1950-an, Mat Sentol, 92, atau nama sebenarnya, Abdul Rasip Yahya yang sudah semakin uzur.

Pengerusi Jawatankuasa Pem­bangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Khairin-Nisa Ismail berkata, kediaman seniman veteran itu di Larkin didiami bersama anak lelakinya yang berusia 63 tahun.

Menurut beliau, anak lelakinya itu tidak pernah berkahwin kerana memberi tumpuan menjaga ayahnya yang uzur dan terlantar sepanjang masa.

“Penama ini tidak lagi bekerja sejak 2020 dan memberi tum­puan menjaga ayahnya sepenuh masa selepas ayahnya dimasukkan ke hospital akibat disyaki dijangkiti virus Covid-19 tahap 3.

“Tanggungjawab besar ini penama pikul dengan penuh sabar sambil dibantu tiga adik-beradik lain yang masing-masing telah berkeluarga dan tinggal berasingan.

“Dia ketika ini menerima sumbangan kira-kira RM500 sebulan bagi menampung keper­luan asas harian mereka,” kata­nya selepas menyantuni seniman legenda tersebut di kediamannya, di sini semalam.

Tambah Khairin-Nisa, penama telah diluluskan Bantuan Penjagaan OKU atau Pesakit Kronik Terlantar (BPT) berjumlah RM500 sebulan.

Bagaimanapun katanya, kos penjagaan Mat Sentol kini melebihi RM2,000 sebulan melibatkan keperluan harian seperti lampin pakai buang, ubat, susu khas serta makanan.

“Jabatan Kebajikan Masya­rakat (JKM) Johor akan mendapatkan bantuan daripada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) bagi membaik pulih rumah mereka yang agak uzur.

“Kami juga akan berusaha mendapatkan bantuan lampin pakai buang,” ujarnya.

Pada masa sama, Khairin-Nisa turut memberitahu Mat Sentol masih kekal ceria walaupun berada dalam keadaan sakit terlantar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN