PETALING JAYA: Kemajuan pesat kecerdasan buatan (AI) dilihat tidak seiring dengan peningkatan produktiviti ekonomi berikutan beberapa faktor termasuk tempoh pelaksanaan yang panjang dan kelemahan kaedah pengukuran konvensional.
Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, integrasi AI ke dalam proses perniagaan memerlukan masa untuk disesuaikan dan dioptimumkan sepenuhnya.
Katanya, kebanyakan syarikat masih berada pada peringkat percubaan dan pembelajaran menyebabkan pelaburan besar terhadap teknologi itu belum menghasilkan pulangan segera kepada produktiviti.
“Ekonomi tradisional juga mungkin tidak dapat mengukur nilai sebenar yang dihasilkan oleh AI seperti perkhidmatan percuma atau penambahbaikan kualiti yang tidak tercermin dalam metrik produktiviti biasa.
“Sementara AI berpotensi besar, kesannya mungkin terkumpul secara beransur-ansur dan hanya akan lebih ketara dalam jangka panjang setelah sistem, infrastruktur dan kemahiran manusia diselaraskan sepenuhnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Mohamad Idham berkata, kekurangan kemahiran tenaga kerja bukanlah satu-satunya faktor yang menghalang AI memberi kesan besar terhadap produktiviti ekonomi.
Katanya, banyak organisasi masih bergelut dengan transformasi digital asas termasuk integrasi data, pengurusan perubahan serta cabaran infrastruktur teknologi yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.
“Selain tenaga kerja yang mahir, ketiadaan rangka kerja peraturan, standard etika dan model perniagaan inovatif yang menyokong penggunaan AI turut menyumbang kepada jurang antara potensi AI dan realiti produktiviti semasa.
“Infrastruktur seperti akses internet berkelajuan tinggi, kuasa pengkomputeran dan platform data yang selamat adalah prasyarat penting sebelum penyelesaian AI dapat dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya.
Menurut beliau, dasar kerajaan yang proaktif seperti insentif fiskal untuk penyelidikan AI, pendidikan dan latihan kemahiran digital serta rangka kerja peraturan yang menggalakkan inovasi sambil melindungi privasi dan keselamatan mampu mempercepatkan penerimaan teknologi itu.
“Pembaharuan dalam sistem dan proses kerja seperti pengurusan data yang lebih baik, kolaborasi antara manusia dan AI serta pendekatan pengurusan yang lebih fleksibel amat penting bagi memastikan teknologi berkenaan dapat diintegrasikan dengan lancar.
“Langkah tersebut akan memastikan AI bukan sahaja diterima secara meluas, malah benar-benar memberikan nilai ekonomi yang ketara dalam jangka panjang,” katanya. – UTUSAN










