SELAYANG: Kehilangan ibu dan ayah akibat kemalangan jalan raya bukan penghalang untuk dua beradik, Muhammad Imran Zakaria, 22 dan Muhammad Akram Zakaria, 25, melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi.
Menurut Muhammad Imran, kejadian tragis itu berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah bersama ibu dan bapanya dan kemalangan tersebut mengakibatkan dia mengalami kecederaan parah, ibunya meninggal dunia di tempat kejadian manakala bapanya disahkan lumpuh sepenuhnya.
“Ketika kejadian, saya tidak sedarkan diri. Saya cuma sedar berada di atas rumput di tepi jalan dan pada ketika itu orang ramai mula mengerumi kami untuk menghulurkan bantuan.
“Dalam kemalangan itu, ibu meninggal dunia di depan mata saya. Selepas kejadian itu, setiap hari saya menangis. Saya tidak mampu fikir apa-apa apatah lagi untuk belajar.”
“Sementara ayah pula yang lumpuh selepas kemalangan turut meninggal dunia baru-baru ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kediamannya di Kampung Melayu, Batu Caves, di sini, baru-baru ini.
Muhammad Imran berkata, sokongan dan kata-kata semangat daripada ahli keluarga dan rakan-rakan telah membantunya menguatkan semangat untuk terus bangkit dan melangkah ke hadapan.
Sementara itu, Muhammad Akram pula berkata, semasa kejadian, dia sedang menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir.
Katanya, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pada ketika itu menyukarkan dia untuk pulang ke tanah air bagi menziarahi ibu dan keluarganya.
“Saya dapat tahu melalui WhatsApp keluarga. Pada mulanya saya fikir bukan ibu dan ayah saya tetapi bila disahkan, saya rasa kosong. Tidak tahu hendak buat apa,” katanya.
Selepas kemalangan tersebut, mereka kehilangan tempat bergantung dan hanya mengharapkan bantuan daripada keluarga terdekat.
Namun, bantuan yang diterima daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melalui faedah Pencen Penakat telah membawa sinar baharu sekali gus meringankan beban mereka untuk meneruskan kehidupan.
“Alhamdulillah, bantuan ini sedikit sebanyak meringankan beban kami terutama dalam keperluan harian, pembelajaran dan kos perubatan ayah,” katanya
Sementara itu, wakil Perkeso berkata, faedah tersebut disalurkan berdasarkan caruman bapa mereka sebelum ini dan akan disalurkan secara bulanan kepada waris yang layak.
Perkeso juga turut menyeru majikan agar sentiasa memastikan caruman pekerja dibuat secara konsisten demi menjamin masa depan keluarga sekiranya berlaku perkara tidak diingini.
Sempena Merdeka 2025, saksikan kisah benar rakyat Malaysia yang bangkit membina semula kehidupan mereka. Dengarkan suara mereka. Hayati semangat juang mereka.
Tonton dan sokong kisah pilihan anda.