KAJANG: Penelitian sedang dilakukan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sama ada mahu meminda atau mewujudkan akta baharu bagi menangani trend penjualan dadah sintetik menggunakan platform dalam talian yang semakin membimbangkan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu sedang diperhalusi Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Jelas beliau, pertimbangan itu mengambil kira fenomena penjualan dadah dalam talian secara kecil-kecilan semakin meluas dengan bekalan dapat diperoleh secara mudah dan sukar dikesan pihak berkuasa.
Saifuddin juga mengakui wujud keperluan mendesak untuk mengambil langkah dalam aspek perundangan bagi mengatasi penjualan dadah sintetik dalam talian.
“Di peringkat JKMD yang dipengerusikan Ahmad Zahid, beberapa kali kami bincangkan bagi menangani isu ini, kali terakhir kami bermesyuarat Jun lalu.
“Kami telah bincangkan keperluan mendesak untuk aspek jualan dadah dalam talian untuk diteliti sehingga kepada menambah baik akta sedia ada atau menggubal satu akta baharu.
“Ia khusus untuk menangani fenomena penjualan atau transaksi dadah secara kecil-kecilan ini menggunakan medium pemasaran secara dalam talian,” katanya pada akhbar di Ibu Pejabat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) selepas merasmikan Program i-DEEN AADK 2025, di sini hari ini.
Saifuddin memberitahu, trend penggunaan dan penjualan dadah sintetik meningkat dan dilihat berbahaya kerana bahan bekalan diperoleh tanpa dikesan.
“Jadi, kerajaan sedar mengenai aspek itu dan kita memang ke arah menanganinya dengan meneliti perundangan sedia ada untuk ditambah baik,” katanya.-UTUSAN