PADAWAN: Seorang kanak-kanak autisme berusia enam tahun dilaporkan hilang, semalam.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata kanak-kanak itu disedari hilang dari rumah di Jalan Kim Chu Sin, Batu Kawa kira- kira pukul 4.15 petang semalam.
“Kanak-kanak terbabit berpakaian kemeja putih tanpa kolar lambang hadapan matahari, seluar pendek warna coklat dan berselipar,” katanya dalam kenyataan.
Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Padawan, Sjn Alex Daniel Jita di talian 011-18816338 atau Bilik Gerakan IPD Padawan di talian 082-862233 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.
Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dijalankan sejak petang semalam dan diteruskan pada hari ini.
Katanya keluarga kanak-kanak terbabit juga telah cuba berusaha mencari mangsa, namun tidak berjaya. – UTUSAN