KUALA LUMPUR: Pelakon, Nadia Brian mengakui dirinya sedia menjalani kehidupan sebagai wanita berdikari atau ‘independent woman’ sekiranya tidak bertemu jodoh dalam masa dua tahun.
Selain enggan terburu-buru dalam mencari pasangan hidup, Nadia atau Nadia Najwa Mohamed Rashidi, 34, selesa dengan kehidupannya kini yang lebih mudah untuk memberikan perhatian sepenuhnya terhadap keluarga tercinta.
“Saya tidak mahu terburu-buru dalam mencari pasangan hidup apatah lagi tidak mahu pisang berbuah dua kali. Alhamdulillah, saya bukanlah selesa menjalani kehidupan sendiri.
“Namun, saya rasa saya sudah melakukan perkara yang tepat selagi saya dapat menjaga ibu dan keluarga. Itu sudah cukup membuat saya tenang sekarang.
“Tetapi, setiap orang mesti ada target tersendiri untuk memiliki pasangan hidup. Kalau lagi dua tahun belum bertemu jodoh, saya pilih jadi wanita berdikari,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran Hydra Gloss Lavvanya x Nadia Brian, baru-baru ini.
Tambah Nadia, dia mungkin akan melalui fasa kesunyian kerana tidak memiliki pasangan hidup, namun perkara itu tidak menjadi penghalang utnuk dirinya terus menghargai diri sendiri.
“Walaupun saya berkahwin atau pun tidak, saya akan tetap terus menyayangi diri sendiri. Mungkin pada ketika itu saya akan berasa sedih kerana hidup sunyi.
“Tetapi, baik lelaki mahupun perempuan kita tetap harus sayangi diri barulah akan ada yang menghargai kita. Apa pun saya masih mengharapkan doa yang baik-baik dari keluarga dan orang ramai,” jelasnya.
Mengulas mengenai produk kosmetik yang baru dilancarkan, pelakon drama Lelaki Itu itu memaklumkan dirinya sudah lama menyimpan hasrat untuk mengembangkan kariernya dalam dunia perniagaan.
“Saya sudah lama berminat dalam bidang perniagaan. Sewaktu belajar dulu juga saya sudah biasakan diri berniaga secara kecil-kecilan. Ini juga kerana keluarga saya pun berniaga.
“Saya rasa perniagaan buat saya menjadi lebih aktif, bijak mengendalikan perniagaan dan mengajar kita untuk melatih berfikiran lebih tajam dan disiplin. Perniagaan juga mendorong saya untuk menjadi versi yang lebih baik dalam kerjaya saya,” ujarnya.-UTUSAN