Status hubungan penyanyi dan pelakon, Erra Fazira bersama usahawan, Ezwan Zain kekal menjadi sorotan apatah lagi timbul desas-desus mereka bakal menamatkan zaman solo tidak lama lagi.
Lebih menguatkan lagi dakwaan, terdapat beberapa pihak menyatakan pasangan tersebut sedang ligat membuat tinjauan lokasi perkahwinan dan memilih Oktober 2025 sebagai tarikh hari bahagia mereka.
Tidak terlalu terbuka, namun tetap tidak berselindung, pemilik nama sebenar, Fazira Wan Chek itu mengakui dia dan lelaki pilihannya itu sudah bersedia untuk melangkah ke fasa yang lebih serius.
“Untuk memudahkan semua pihak, Alhamdulillah, berkat doa semua pihak mungkin jika ada yang mengizinkan, kami mahu ke fasa seterusnya iaitu alam perkahwinan.
“Kami juga sudah mendapat lampu hijau daripada pihak keluarga, anak dan semua orang sudah okay. Cuma sekarang ini persediaan antara kedua pihak kerana kami masih lagi mempunyai beberapa perkara yang perlu diselesaikan.
“Insya-Allah, jika bukan dalam masa terdekat, mungkin tahun hadapan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah penyanyi yang berusia 51 tahun tersebut, dia juga sama seperti pasangan lain yang mendambakan ikatan yang dibina sejak Ogos 2024 berakhir dengan sebuah perkahwinan.
“Saya terbuka memaklumkan perkara ini kerana saya pasti setiap hubungan itu ada fasa naik dan turun tangganya. Apa yang saya melihat pada hubungan kami kini adalah tangganya menaik.
“Saya masih lagi mengharapkan doa yang baik-baik dari semua pihak terutamanya sahabat dan keluarga. Ini kerana saya tidak tahu apa perkara yang bakal mendatang kemudian hari.
“Setakat ini, kami berdua hanya fokus untuk selesaikan komitmen masing-masing terlebih dahulu,” ujarnya.
SHOWCASE UNTUK PEMINAT
Lebih tiga dekad dalam industri seni, penyanyi lagu Hanya Di Mata itu meluahkan hasratnya untuk mengadakan sebuah showcase buat peminatnya dalam masa terdekat.
Kata Erra, sekiranya tiada halangan dia memilih tarikh ulang tahun kelahirannya untuk menghiburkan peminatnya dalam sebuah persembahan yang penuh intimate.
“Atas permintaan ramai, saya sasarkan Februari tahun depan. Tarikh yang dipilih juga adalah sempena ulang tahun kelahiran saya.
“Jadi, saya mahu adakan sebuah acara yang santai sambil semua orang boleh menyanyi bersama di showcase itu nanti. Untuk senarai lagu juga, ada peminat yang sudah mula membuat permintaan,” jelasnya.
Meskipun sudah lama mencipta nama dalam industri muzik, Erra mengakui dirinya masih lagi berdepan dengan perasaan gementar untuk mengadakan konsert yang berskala lebih besar.
Katanya, perancangannya itu merupakan langkah awal untuk menangani ketakutan melampau ketika berada di atas pentas lebih-lebih lagi dirinya sudah lama berehat dari dunia nyanyian.
“Saya sudah lama berehat dari dunia nyanyian, namun saya masih menghadiri majlis makan malam tetapi tidak sekerap dulu. Saya ini ada stage fright yang agak kronik.
“Jadi saya tahu diri saya. Jadi saya sendiri nak cabar diri saya dengan showcase untuk tingkatkan keyakinan diri.
“Tetapi saya lebih selesa permulaan dengan showcase. Saya rasa itu adalah jalan yang terbaik untuk saya dekat dengan peminat saya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Erra sekali lagi muncul sebagai juri tetap menerusi program realiti, Kilauan Emas musim kelapan bersama barisan juri lain seperti Roy Azman dan Ning Baizura.