KUALA LUMPUR: “Saya masih beri ruang dan peluang.”
Demikian maklum balas penyanyi, Datuk Nora Ariffin mengenai tuntutan bayaran royalti lagu-lagu ciptaan arwah suaminya, Allahyarham Johan Nawawi terhadap lebih enam syarikat penerbitan.
Kata Nora, sehingga kini pihaknya masih belum menerima maklum balas dan penjelasan yang dikehendaki apabila ada antara syarikat-syarikat berkenaan yang terus berdiam diri mengenai isu terbabit.
“Kami masih menunggu maklum balas daripada penerbit-penerbit berkenaan meskipun tempoh satu minggu yang diberikan kepada mereka sudah berlalu.
“Beberapa penerbit barkaitan ada hubungi pihak saya tetapi respons yang mereka berikan tidak seperti yang kami harapkan.
“Saya, mewakili pewaris, iaitu anak-anak saya masih memberikan mereka ruang dan peluang. Saya pun faham, mungkin perkara ini ambil masa.
“Jadi kita tengoh bulan depan macam mana,” katanya.
Nora sebelum ini mendedahkan lebih enam syarikat penerbitan gagal menyalurkan bayaran royalti lagu-lagu ciptaan arwah suaminya, Allahyarham Johan Nawawi meskipun selepas lebih empat tahun menunggu penjelasan.
Antara syarikat yang disebut adalah Warner Chappell Music, Music Works, NSR Publishing, EMI Publishing, Sony Music Publishing dan Good Sound Publishing.
Kata Nora, beliau berharap isu bayaran royalti itu dapat diselesaikan secara baik.
“Saya sebenarnya kalau boleh tidak mahulah bawa isu ini ke mahkamah. Seeloknya ia selesai cara baik.
“Tetapi kalau tiada penyelesaian, mungkin saya terpaksa pertimbangkan juga untuk ambil tindakan undang-undang,” kongsinya.
Penyanyi lagu Hanya Satu itu dalam masa yang sama menegaskan tindakannya membangkitkan isu bayaran royalti tersebut bukan untuk mencari perhatian sebaliknya untuk menegakkan hak anak-anaknya selaku waris Allahyarham.
“Kalau bukan saya, esok lusa anak-anak saya juga yang akan buat tuntutan.
“Dan sebagai penggiat industri seni, saya harus cakna isu bayaran royalti ini.
“Oleh itu saya harap pihak penerbitan tidak lepas tangan,” jelasnya.-UTUSAN