JOHOR BAHRU: Johor dan Singapura mencadangkan supaya perkhidmatan e-hailing rentas sempadan antara kedua-dua negara dilaksanakan sebagai alternatif kepada pengembara.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, itu antara perkara yang dibincangkannya dalam pertemuan dengan Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura, Jeffrey Siow semalam.
“Perkhidmatan ini bukan sahaja menawarkan pilihan mobiliti yang lebih fleksibel dan mengikut keperluan pengguna malah berpotensi mengurangkan kesesakan di laluan utama serta membuka peluang pendapatan kepada pemandu tempatan.
“Ia juga dilihat mampu menjadi pemangkin bagi sistem pengangkutan yang lebih mesra pengguna, selamat dan berdaya saing, di samping memperkukuhkan integrasi antara mod pengangkutan awam kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan semalam.
Onn Hafiz berkata, perkara lain yang turut dibincangkan termasuk perkembangan Projek Rapid Transit System (RTS) Link yang dijadualkan mula beroperasi pada Januari 2027.
“Antara aspek disentuh termasuk kemajuan fizikal projek, penyelarasan jadual pengoperasian, penetapan struktur tambang serta penyepaduan sistem pengangkutan awam antara Johor dan Singapura.
“Selain itu termasuk juga cadangan menyelaras waktu operasi serta menambah bilangan bas rentas sempadan untuk dimulakan lebih awal, berbanding pukul 5 pagi masa kini bagi menangani kesesakan dan memastikan aliran trafik yang lebih lancar di Tambak Johor serta kompleks imigresen.” katanya. – UTUSAN










