Jenazah Zara Qairina dikebumi semula hari ini selepas bedah siasat selesai

Jenazah Zara Qairina dikebumi semula hari ini selepas bedah siasat selesai

PEGUAM keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir iaitu Hamid Ismail dan Shahlan Jufri tiba di HQE, Kota Kinabalu bagi proses bedah siasat jenazah Zara Qairina.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Proses bedah siasat jenazah Allahyarham Zara Qairina Mahathir dijangka selesai dan akan dikebumikan semula pada hari ini juga.

Menurut peguam keluarga, Hamid Ismail, proses bedah siasat tersebut telah bermula lebih kurang pukul 11 pagi tadi di Hospital Queen Elizabeth (HQE) di sini dan akan mengambil beberapa jam untuk selesai.

“Selepas selesai bedah siasat, arwah dijangka akan dibawa kembali ke tanah perkuburan di Sipitang untuk pengebumian semula,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut beliau, proses bedah siasat dikendalikan oleh pakar forensik HQE, Dr. Jesse Hiew, serta pakar perunding Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Selangor, Dr. Khairul Anuar Zainun.

Hamid berkata, Dr. Jesse akan memberi laporan rasmi penemuan bedah siasat tersebut kepada keluarga Allahyarham kelak.

“Sama ada unsur jenayah atau tidak, beliau mungkin akan buat laporan bedah siasat yang lebih rapi dan teliti nanti,” katanya.

Hamid berkata, ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat, turut berada d hospital tetapi tidak memasuki bilik bedah siasat.

Beliau turut memaklumkan bahawa Imbasan Tomografi Berkomputer (CT Scan) juga telah dilakukan ke atas jenazah Allahyarham semalam.

“Kedua-dua laporan ini akan dihantar ke pakar di Semenanjung untuk perbandingan yang lebih telus,” kata beliau.

Sementara itu, Hamid sekali lagi menggesa pengguna media sosial agar tidak menyebarkan fitnah mengenai kes ini.

“Ada tular satu video di sosial media menunjukkan seorang perempuan menjerit. Itu bukan ahli keluarga Zara. Saya harap netizen tidak menyebarkan fitnah. Kalau boleh, sokonglah ibu Zara yang sekarang tertekan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN