Jangan takut untuk kuasai bahasa lain - Munaa Bella - Utusan Malaysia

Jangan takut untuk kuasai bahasa lain – Munaa Bella

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bahasa adalah satu sistem komunikasi yang digunakan oleh setiap individu untuk menyampaikan maklumat, idea, perasaan dan pandangan melalui pertuturan, tulisan atau isyarat.

Umum tahu, setiap negara mempunyai bahasa ibunda tersendiri bagi memudahkan untuk berkomunikasi secara dua hala. Namun, ada juga individu yang berani mencabar diri untuk mempelajari bahasa negara lain agar lebih mudah untuk berinteraksi.

Seperti penyampai radio dan pengacara, Munaa Bella, dia mengakui minatnya untuk menguasai pelbagai bahasa sudah mula terpupuk sejak dibangku sekolah lagi.

“Sewaktu saya sekolah menengah, saya sudah mula belajar bahasa Mandarin kerana minat yang mendalam untuk menonton drama atau filem Taiwan.

“Minat itu turut disokong oleh bapa saya kerana dia yang menghantar saya ke kelas bahasa Mandarin dan selebihnya saya belajar di ketika melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Sehingga kini, saya masih boleh memahami dan bertutur dalam bahasa tersebut meskipun belum mahir sepenuhnya,” katanya kepada Pancaindera.

Tambah penyampai radio Era FM itu, selain Mandarin, kini dirinya cuba mengembangkan minatnya untuk mempelajari bahasa lain seperti Korea dan Thailand.

Katanya, kedua-dua bahasa tersebut secara tidak langsung memudahkannya untuk mengacarakan acara tertentu yang melibatkan selebriti dari negara tersebut.

“Antara sebab utama saya mahu menguasai bahasa-bahasa tersebut kerana saya mahu menjadi hos yang boleh bertutur dengan baik ketika diundang untuk mengendalikan acara tertentu.

“Pada saya, dengan cara itu saya dapat berinteraksi dengan selebriti jemputan dengan mudah malah lebih menjimatkan masa.

“Ini kerana apabila artis luar negara datang ke sini, mereka memerlukan seseorang untuk menterjemahkan setiap apa yang mahu disampaikan.

“Selain itu, saya juga minat untuk menguasai bahasa Korea dan Thailand kerana saya suka menonton drama-drama mereka,“ jelasnya.

Dalam pada itu, Munaa berpendapat menguasai bahasa lain selain bahasa ibunda seperti bahasa Malaysia memudahkan seseorang itu untuk membina hubungan dua hala dengan sesiapa sahaja yang ditemui.

“Menariknya apabila kita dapat menguasai bahasa lain selain daripada bahasa ibunda kita sendiri adalah kita dapat berkomunikasi dengan kenalan baharu terutamanya ketika merantau ke negara tersebut.

“Saya tidaklah mahir sepenuhnya untuk bertutur dalam bahasa-bahasa yang saya pelajari itu. Namun, dengan pengetahuan asas yang saya miliki dapat memudahkan saya untuk berkomunikasi dengan mereka ketika melancong di sana,” ceritanya.

Meskipun dirinya perlu berhabis ribuan ringgit untuk menguasai bahasa-bahasa tersebut, Munaa menyifatkan minatnya terhadap perkara itu membuahkan hasil berbaloi.

Namun, kekangan masa dan kepadatan jadual kerja membuatkan dirinya terbatas untuk terus fokus mendalami bahasa Korea dan Thailand itu.

“Sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, saya mengambil peluang untuk fokus bahasa Korea sepenuhnya secara atas talian.

“Meman­dangkan kini segalanya sudah kembali normal, saya bersyukur saya dapat bertemu dan belajar bahasa kegemaran saya dengan seorang guru yang boleh mengajar saya secara fleksibel mengikut jadual kerja saya.

“Apa yang saya boleh simpulkan, jika kita meminati sesuatu bahasa itu, jangan takut untuk menguasainya. Teruskan sahaja kerana banyak kebaikannya,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN