PETALING JAYA: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) mengingatkan supaya guru tidak dibebankan dengan pelbagai program baharu setiap kali isu buli timbul di sekolah.
Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon berkata, kebiasaannya apabila kes buli berlaku hingga mengundang kecederaan atau kehilangan nyawa, pelbagai idea, kempen dan program segera dirangka seolah-olah mahu menunjukkan tindakan drastik sedang diambil.
Namun katanya, situasi itu akhirnya memberi tekanan besar kepada guru kerana terpaksa melaksanakan pelbagai perancangan yang sebenarnya tidak memberi impak jelas dalam membendung gejala berkenaan.
“Bagi kami di NUTP, apa yang penting adalah guru tidak terbeban dengan pelbagai perkara kerana terlalu taksub mengadakan pelbagai program mengikut arus dan gelombang kisah buli ini.
“Pelbagai idea dan pandangan dikeluarkan serta pelbagai kempen dilancarkan sehingga akhirnya guru yang tertekan. Sedangkan peraturan sedia ada sebenarnya sudah ada, cuma perlu diperbaiki selari dengan perkembangan masa dan teknologi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Media sebelum ini melaporkan, insiden kematian membabitkan pelajar berusia 13 tahun, Zara Qairina Mahathir, yang turut dikaitkan dengan perbuatan buli.
Selain itu, pada Disember 2013, seorang pelajar Tingkatan Empat sekolah agama di Kok Lanas, Wan Ahmad Faris, 16, juga ditemukan mati tergantung di tandas asrama.
Mengulas lanjut, Fouzi berkata, kes buli adalah kes terpencil, tetapi menjadi serius kerana melibatkan kecederaan parah malah ada yang meragut nyawa.
Katanya, gejala itu tidak terbatas pada lokasi atau masa tertentu, malah bukan hanya melibatkan pelajar bermasalah disiplin, sebaliknya turut membabitkan pelajar cemerlang.
“Buli lazimnya tidak berlaku secara bersendirian, sebaliknya dilakukan secara berpasangan atau berkumpulan. Justeru, pencetus perbuatan buli perlu dikesan lebih awal melalui saluran mudah diakses pelajar seperti peti aduan, media sosial, soal selidik atau platform lain,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, semua pelajar perlu diberi kesedaran berterusan mengenai bahaya buli dan saluran aduan yang boleh digunakan sama ada menerusi suara pelajar, kempen atau aktiviti kesedaran lain.
“Kaunseling pula hanya dapat dijalankan apabila ada aduan rasmi daripada mangsa atau laporan disiplin, manakala peranan kaunselor lebih kepada kempen, penyebaran maklumat dan sokongan psikologi secara umum.
“Kita boleh menjadi sebahagian daripada ‘bullying board’ dengan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk mencari idea, jalan keluar dan berkempen secara menyeluruh,” katanya. – UTUSAN










