KUALA LUMPUR: Pelakon, Sophia Albarakbah bakal tampil membuat laporan polis petang ini berikutan dakwaan menjadi mangsa buli siber dan gangguan seksual.
Perkara itu disahkan pengurusnya, Nik Yasmin namun tidak berkongsi sebarang butiran mengenai perkara itu bagi menghormati prosedur siasatan polis.
“Maklumat penuh akan kami kongsikan kepada media selepas laporan polis selesai dibuat petang ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Sophia atau nama penuhnya Sharifah Sophia Syed Abd Rahman 31, bakal hadir di sebuah balai polis petang ini bagi membuat laporan rasmi.
Menurut firma guaman yang mewakili Sophia, Tetuan Aizat Izuan Shakeel, pihaknya komited untuk melindungi anak guamnya daripada terus menjadi mangsa buli di media sosial.
“Kami selaku peguam kepada selebriti dikenali sebagai Sophia Albarakbah ingin memaklumkan bahawa anak guam kami akan membuat laporan polis berhubung isu buli siber dan gangguan seksual dalam talian yang menimpa beliau.
“Satu kenyataan dan sidang media juga akan disampaikan untuk memberikan pencerahan mengenai laporan polis yang akan dibuat serta usaha lanjut untuk menangani isu buli digital terhadap wanita di industri hiburan,” tulis kenyataan itu.
Terdahulu, nama Sophia kembali menjadi panas selepas pelakon, Bella Astillah, menyampaikan trofi kemenangan kategori Selebriti Feminin Terhangat buatnya semasa Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2025 yang berlangsung pada Ahad. -UTUSAN