KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Farahdhiya, 42, mendedahkan, dirinya pernah menjadi mangsa buli sewaktu di berada bangku sekolah dan pengalaman itu meninggalkan kesan yang mendalam dalam hidupnya.
Menurut Farahdhiya, insiden itu berlaku ketika dia menjejakkan kaki ke sebuah sekolah menengah sebagai pelajar baharu pada pertengahan Tingkatan Satu.
Jelas Farahdhiya, kehadirannya seakan tidak disenangi segelintir kumpulan pelajar perempuan menyebabkan dirinya menjadi sasaran penghinaan dan ancaman.
“Mereka panggil saya dengan pelbagai gelaran, conteng nama saya di makmal dan tandas, baling batu ketika waktu rehat malah hantar surat ugutan.
“Pernah cikgu tanya kenapa nama saya penuh di meja makmal, sedangkan saya sendiri tidak mengenali mereka kerana saya pelajar baharu.
“Antara yang mereka tulis ialah Farahdhiya menggelabah, Farahdhiya bab*, Farahdhiya gedik, Farahdhiya poyo dan macam-macam lagi. Bila waktu rehat siap kene baling batu, balik dari lab siap ada surat atas meja ugut macam-macam,”katanya dalam satu hantaran di media sosial, semalam.
Kongsi Farahdhiya, segala bentuk buli itu berlarutan hampir setahun dan dia hanya mendiamkan diri dan menahan perasaan meskipun dihina serta dicerca hampir setiap hari.
Bagaimanapun, kata Farahdhiya, segalanya berubah apabila dia memasuki tingkatan dua.
“Selama ini saya hanya diam. Banyak kali masa rehat mereka nak cari pasal dan satu hari itu, masa tengah rehat saya beritahu kawan-kawan yang lain supaya biarkan saya uruskan sendiri.
“Saya cuma seorang, mereka ramai. Dalam hati memang tunggu sahaj mereka sentuh saya dulu sebab selama ini mereka gertak tapi tak sampai naik tangan.
“Tetapi pada hari berkenaan, memang impian saya jadi kenyataan, salah seorang daripada mereka sentuh. Saya pun automatik dengan baju kurungnya mula pukul dan tendang belakang dia.
“Seorang jatuh, seorang lagi cuba tolong tapi tertikam tangan saya dengan pen. Mereka terkejut kerana selama ini sangka saya tidak berani. Terus-terang, masa itu dalam hati, saya fikir mereka ini memang salah oranglah, cuma tunggu masa saja untuk saya ‘meletup’”katanya.
Episod pergaduhan itu bukan sahaja menghentikan perbuatan buli terhadap dirinya, malah, kata penyanyi lagu Bertakhta Di Hati ini ia secara tidak langsung turut mengubah persepsi pelajar lain terhadapnya.
Malah, katanya, ada antara bekas pembuli yang datang meminta maaf dan meminta pertolongan untuk ‘mengajar’ pihak lain, namun Farahdhiya menolak.
“Saya bukan kaki gaduh, saya hanya bertindak mempertahankan diri. Selepas kejadian itu, tiada siapa lagi berani mengganggu saya di sekolah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Farahdhiya turut berkongsi nasihat kepada remaja supaya menjauhi budaya buli dan tidak memalukan keluarga dengan perangai samseng di sekolah.
“Mak ayah hantar kita ke sekolah untuk menimba ilmu. Ambillah peluang itu untuk banggakan mereka, untuk masa depan awak juga. Tak kemana pun perangai kaki buli awak itu, tak mendatangkan faedah.
“Jagalah nama baik keluarga, kita ini hidup bukan sorang diri, kita ada keluarga, jangan kerana perangai awak, mak ayah yang dapat malu nanti. Kasihan mak ayah tak bersalah, penat mereka cari duit jaga awak dari kecil nak sekolahkan awak lagi, semata-mata nak tengok awak berjaya.
“Biarlah kita ini tak pandai, tak cerdik dalam pelajaran sekalipun, tapi janganlah sekali-kali kita jadi manusia yang kurang ajar, yang tak ada adab. Saya percaya tak ada mak ayah yang suruh anak-anak mereka buat tak elok,”katanya.- UTUSAN