Isu kesihatan, kekurangan doktor dan Zara Qairina, tumpuan Dewan Rakyat - Utusan Malaysia

Isu kesihatan, kekurangan doktor dan Zara Qairina, tumpuan Dewan Rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini dijangka memberi fokus kepada persoalan berkaitan perkhidmatan kesihatan dan isu kekurangan tenaga kerja di hospital kerajaan di seluruh negara.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, dua soalan utama kepada Menteri Kesihatan akan dibangkitkan, masing-masing oleh Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) dan Wong Shu Qi (PH-Kluang).

Vivian meminta penjelasan mengenai status kajian struktur wad lama di Hospital Duchess of Kent, Sandakan yang telah dijalankan pada April lalu. Beliau turut mahu mengetahui tindakan susulan kerajaan supaya perkhidmatan kesihatan di daerah itu tidak terjejas.

Hospital Duchess of Kent merupakan pusat perubatan utama di pantai timur Sabah dan menjadi rujukan bagi lebih 500,000 penduduk. Justeru, sebarang isu berhubung fasiliti hospital berkenaan dilihat mampu menjejaskan akses rawatan kesihatan masyarakat setempat.

itu, Wong Shu Qi dijangka mengajukan soalan berkaitan jumlah doktor dan jururawat yang telah meletak jawatan sejak 2020 hingga 30 Jun 2025. Beliau juga meminta penjelasan mengenai jumlah tenaga baharu yang telah berkhidmat sepanjang tempoh sama.
Kebimbangan mengenai kekurangan tenaga perubatan sering menjadi isu berulang di hospital kerajaan, terutamanya selepas pandemik Covid-19 yang menyaksikan ramai petugas kesihatan memilih untuk meninggalkan sektor awam.

Ahli Parlimen Kluang itu turut meminta Menteri Kesihatan memperincikan langkah-langkah yang diambil bagi menampung kekurangan tenaga kerja, termasuk pelan jangka panjang untuk menarik minat graduan perubatan kekal berkhidmat dengan kerajaan.

Selain isu kesihatan, Dewan Rakyat juga dijadual membincangkan persoalan berkaitan keselamatan dalam negeri termasuk kes kematian pelajar, Zara Qairina Mahathir yang mendapat perhatian masyarakat sejak kebelakangan ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dijangka memberi penjelasan berhubung siasatan dan tindakan lanjut kerajaan dalam kes tersebut. Perkara itu penting bagi menjawab desakan keluarga mangsa serta orang ramai yang mahu melihat keadilan ditegakkan.

Kes Zara Qairina, pelajar tingkatan satu yang meninggal dunia akibat dipercayai menjadi mangsa buli di sebuah sekolah vokasional di Sabah, telah mencetuskan gelombang solidariti di beberapa daerah termasuk Lahad Datu, Sandakan dan Tawau.
Isu tersebut kini dilihat sebagai ujian besar terhadap ketegasan kerajaan dalam menangani kes buli yang berulang di institusi pendidikan, selain menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatan pelajar di bawah seliaan pihak berkuasa.

Selepas sesi pertanyaan bagi jawab lisan,persidangan akan diteruskan dengan sambungan Aturan Urusan Mesyuarat dan usul-usul sebagaimana ditetapkan dalam takwim rasmi Parlimen.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN