KEPALA BATAS : “Kita bukan nak buli, tetapi, nak beri mesej jelas bahawa isu bendera ini bukan isu kecil dan bukan isu yang sengaja nak dibesar-besarkan. Isu bendera ini adalah maruah kita semua.”
Itu kata Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh ketika berucap semasa turut serta dalam Himpunan Solidariti Jalur Gemilang di Bertam di sini, petang tadi.
Menurut Muhamad Akmal, himpunan itu terpaksa diadakan bagi memberi mesej jelas bahawa pihaknya tidak boleh sama sekali menerima kesilapan seperti itu.
“Jadi, kita mohon polis untuk buat siasatan. Kita juga mohon supaya pelaku ini didakwa agar ia dapat dijadikan satu pengajaran buat kita semua,” kata beliau.
Selain Pemuda UMNO, himpunan yang berjaya menarik kehadiran sehingga 500 peserta terutamanya daripada kalangan anak muda itu turut disokong oleh beberapa parti politik lain termasuk dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melalui sayapnya, Armada Bersatu serta Pas.
Mereka bersama-sama memegang bendera dan berarak hingga ke lokasi yang terletak sejauh kira-kira 1.4 kilometer (km) bermula dari tapak pasar malam Kepala Batas sehingga di hadapan kedai perkakasan yang terlibat dengan kontroversi pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik sebelum ini.
Turut serta dalam perarakan itu ialah beberapa pemimpin politik yang lain termasuk Ketua Armada Bersatu, Muhammad Hilman Idham; Ketua Pemuda UMNO negeri, Mohd Hilmi Elias serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya yang juga Ketua Armada Bersatu, Pulau Pinang, Izhar Shah Arif Shah.
Perhimpunan yang pada mulanya berlangsung secara aman itu bagaimanapun bertukar menjadi sedikit kecoh susulan provokasi yang dilakukan oleh sekumpulan individu dari Lawyers For Liberty yang dilihat memegang sepanduk ‘Jangan Bersikap Zionist’, ‘Hentikan Politik Kotor’ dan ‘Kesilapan Bukan Jenayah’.
Bagaimanapun, kehadiran kira-kira 150 pegawai dan anggota polis termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang melakukan kawalan di lokasi perhimpunan berjaya mengawal keadaan terutamanya selepas satu perbincangan dilakukan oleh kedua-dua belah pihak.
Terdahulu, beberapa pemimpin setempat khususnya daripada parti DAP hadir mengedarkan lebih 700 Jalur Gemilang kepada pengguna jalan raya berhampiran kedai perkakasan itu.
Antara pemimpin yang kelihatan termasuk Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang, Datuk Yeoh Soon Hin; Penolong Setiausaha DAP negeri, H’ng Mooi Lye serta seorang wakil rakyat DAP negeri iaitu, Heng Lee Lee.-UTUSAN