Insiden murid jatuh bangunan sekolah: KPM patuhi segala SOP

Insiden murid jatuh bangunan sekolah: KPM patuhi segala SOP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) menjelaskan pihaknya telah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam menguruskan insiden murid jatuh dari tingkat tiga sekolah di Sabak Bernam, Selangor awal pagi tadi.

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, tumpuan pihak sekolah ketika itu adalah membawa murid berkenaan ke hospital terlebih dahulu.

Beliau berkata, pihaknya memberi tumpuan dan fokus kepada keselamatan pelajar itu terlebih dahulu sebelum memaklumkan kepada ahli keluarga.

“Pada pukul 3.20 pagi ambulan datang ke sekolah dan mengambil murid ini dan kira-kira pukul 3.40 pagi sampai ke Hospital Sabak Bernam,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian susulan dakwaan oleh ahli keluarga mangsa kononnya pihak sekolah lewat memaklumkan insiden itu.

Sebelum ini, ahli keluarga mangsa mendakwa mereka dimaklumkan mengenai insiden itu sekitar pukul 4 pagi sedangkan kejadian itu berlaku kira-kira pukul 2 pagi.

Dr Mohd Azam berkata, pihaknya dimaklumkan pihak sekolah telah menghubungi keluarga mangsa setelah tiba di hospital.

“Jadi di hospital itu telah dimaklumkan kepada bapa pelajar. Tapi apa-apa (dakwaan lambat maklum insiden) pun kita akan ada siasatan dalaman, kita akan lihat siasatan polis dan sebagainya.

“Insya-Allah, perkara yang dibangkit ini kita akan dapat perjelaskan ataupun kita akan dapat jawapannya nanti,” katanya.

Pada masa sama, Dr. Mohd Azam berkata, beliau sendiri sempat menziarahi mangsa di Hospital Sungai Buloh hari ini dan dimaklumkan mangsa kini sedang ditidurkan.

Katanya, pihak hospital telah melakukan semua prosedur dan tatacara perubatan serta rawatan ke atas mangsa dengan tumpuan utama memantau kecederaan kepala dan otak mangsa.

Dalam perkembangan sama, Dr Mohd Azam berkata, pihaknya akan menghantar pasukan kaunselor ke sekolah berkenaan bagi memberi sokongan moral dan psikososial kepada warga sekolah itu.

“Saya juga minta pihak sekolah mengadakan bacaan Yasin dan solat hajat bagi mendoakan agar mangsa diberi perlindungan dan kesembuhan,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Azam menegaskan prosedur di semua asrama KPM menetapkan lampu bilik ditutup pada pukul 10 malam dan tiada aktiviti dibenarkan selepas waktu tersebut kecuali program rasmi yang disertai guru.

“Sepatutnya selepas pukul 10.30 malam, elektrik ditutup dan tidak ada lagi aktiviti kerana seawal pukul 5.30 pagi pelajar beragama Islam akan dikejutkan untuk bersedia menunaikan solat Subuh berjemaah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN