KUALA TERENGGANU: Tentera Darat mahu semua anggotanya mengambil peluang meningkatkan prestasi masing-masing selari dengan insentif berdasarkan prestasi yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim berkata, pengumuman itu menjadi pemangkin kepada peningkatan motivasi dan profesionalisme dalam kalangan anggota tentera.
“Bayaran insentif berdasarkan prestasi ini menjadi kayu ukur kepada tahap komitmen setiap anggota. Mereka akan berusaha lebih gigih untuk mencapai kecemerlangan dalam tugasan masing-masing,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penutup Kursus Asas Pasukan Atur Cepat (APAC) di Dataran Drawbridge di sini, hari ini.
Pada majlis itu , seramai 61 pegawai dan anggota tentera menamatkan latihan yang bermula 13 Julai lalu.
Semalam, Perdana Menteri mengumumkan pemberian insentif berbentuk bayaran khas berdasarkan prestasi kepada anggota tentera, sebagai pengiktirafan terhadap khidmat mereka dalam menjaga kedaulatan dan keselamatan negara.
Sementara itu, Tengku Muhammad Fauzi, dalam era teknologi semasa, bidang ketenteraan memerlukan kepakaran dalam aspek teknologi dan penguasaan media sosial yang kini menjadi platform penting dalam pelbagai aspek operasi.
“Zaman telah berubah. Dalam ketenteraan juga, teknologi memainkan peranan besar. Anggota perlu celik teknologi dan mahir menggunakan platform digital bagi menyokong kesiapsiagaan pasukan,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Angkatan Tentera Malaysia tidak berkompromi dengan sebarang kesalahan yang boleh mencemarkan imej pasukan atau negara.
“Sekiranya berlaku penyalahgunaan kuasa, kita beri kerjasama penuh kepada pihak berkuasa. Tiada keistimewaan untuk mana-mana individu. Semua anggota tertakluk kepada undang-undang,” katanya..
Beliau turut mengingatkan anggota tentera supaya terus menjaga kerahsiaan negara dan menjunjung tinggi ikrar setia kepada tanah air.
Katanya, kerahsiaan negara tidak boleh dikompromi dan setiap anggota telah berikrar untuk menjaganya.
Sementara itu, beliau menyambut baik cadangan pelantikan veteran tentera sebagai warden institusi, memandangkan ramai yang masih berkemampuan untuk menyumbang tenaga selepas bersara seawal usia 40 tahun.
“Ini satu peluang kedua yang sangat baik. Mereka mempunyai pengalaman dan kemahiran yang tinggi. Rugi jika tidak dimanfaatkan,” katanya. – UTUSAN










