JITRA: Kedah Darul Aman (KDA) FC menghadapi kekalahan kedua Liga A1 Semi-Pro musim ini apabila kali ini terpaksa akur dengan kehebatan Imigresen FC (IFC) II yang menundukkan mereka dengan jaringan 3-0, petang tadi.
Dalam perlawanan kedua di gelanggang lawan pada 10 Ogos lalu, KDA tewas tipis 0-1 kepada pasukan Bunga Raya FC, setelah membuka tirai aksi liga dengan kemenangan sulung terhadap Machan FC, 1-0.
Ketika perlawanan di Stadium Mini Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP) hari ini, penyerang import IFC II dari Tanzania, Said Khamis mencetak gol pertama pada masa tambahan separuh masa pertama.
Said yang beberapa minit sebelum itu dilayangkan kad kuning hanya menguis mudah bola yang dihantar dari bahagian sayap kanan IFC II lalu menewaskan penjaga gawang KDA, Aqil Syahmi Azizan pada minit ke-45.
Memasuki babak kedua, kapten IFC II, Hafiz Kamal menggandakan bilangan gol buat pasukannya pada minit ke-55 apabila melakukan tendangan voli dari luar kotak penalti setelah bola ditumbuk keluar Aqil Syahmi untuk kedudukan semasa 2-0.

IFC II terus bernafsu memburu jaringan sebelum usaha itu berhasil lapan minit kemudian, kali ini giliran pemain tengah mereka, Norzaiful Zaizurin menembusi gawang tuan rumah.
Pemain berusia 23 tahun itu menyambut hantaran jauh dari bahagian tengah oleh Felipe De Lima sebelum melakukan rembatan menggunakan kaki kiri menewaskan Aqil Syahmi.
KDA yang tidak berpeluang untuk melakukan percubaan terbaik terpaksa akur dengan gerakan IFC II yang menamatkan permainan dengan keputusan 3-0. – UTUSAN