PETALING JAYA: icapital.biz Bhd (ICAP), satu-satunya dana tertutup yang tersenarai di Bursa Malaysia mengumumkan dividen interim sebanyak 13.54 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei 2026, sejajar dengan dasar dividen inovatif yang diperkenalkan syarikat itu.
Menurut kenyataannya, berdasarkan harga penutup saham ICAP pada RM2.60 setakat 22 Ogos lalu, pembayaran dividen tersebut memberikan hasil pulangan sebanyak 5.21 peratus.
Tarikh luput dividen ditetapkan pada 30 September 2025, manakala tarikh kelayakan pada 1 Oktober 2025, sebelum pembayaran dibuat pada 30 Oktober 2025.
Sehingga 20 Ogos lalu, nilai aset bersih (NAB) sesaham ICAP berada pada paras RM3.84 iaitu premium 32.3 peratus berbanding harga saham RM2.60.
Orang yang dilantik ICAP, Tan Teng Boo berkata, pengumuman dividen kedua itu mencerminkan komitmen syarikat untuk terus memberi ganjaran kepada pemegang saham di samping mengekalkan falsafah pelaburan nilai jangka panjang.
“Prestasi portfolio yang kukuh membolehkan kami memberikan pulangan mampan dan kami yakin dapat terus menjana nilai kepada pemegang saham dalam mengharungi peluang serta cabaran mendatang,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, ini merupakan kali kedua ICAP mengisytiharkan dividen di bawah dasar dividen inovatifnya selepas pengisytiharan sulung pada 27 September 2024 sebanyak 10.41 sen sesaham bagi tahun kewangan 2025.
Dalam tempoh tiga tahun dari 15 Ogos 2022 hingga 15 Ogos 2025, harga saham ICAP mencatatkan pulangan 11.10 peratus setahun, manakala NAB pula meningkat 8.34 peratus setahun.
Prestasi ini jauh mengatasi Indeks MSCI Malaysia yang hanya mencatatkan kenaikan 1.20 peratus setahun dalam tempoh sama.
Secara kumulatif, harga saham dan NAB ICAP masing-masing merekodkan pulangan 37.17 peratus dan 27.18 peratus, berbanding kenaikan tipis 3.63 peratus oleh Indeks MSCI Malaysia.
ICAP memperkenalkan dasar dividen inovatif pada 29 September 2023 yang terdiri daripada kadar asas sebanyak satu peratus daripada NAB sesaham, serta kadar tambahan lapan peratus daripada perbezaan antara harga saham dan NAB. – UTUSAN