PETALING JAYA: Ibu kepada pelakon, Anna Jobling mendakwa campur tangan pihak ketiga merupakan antara faktor anaknya mengeluarkan perintah injunksi terhadapnya sekali gus menyebabkan hubungan mereka semakin dingin.
Dakwa Ariz, Anna memfailkan perintah injunksi tersebut kerana mahukan kebebasan sendiri selain mendakwa perkara itu berlaku disebabkan anaknya dikawal oleh pihak pengurusan.
“Injunksi itu lebih kepada kebebasan. Pengurusan nak kawal dia. Banyak campur tangan orang ketiga,” dakwanya menerusi sebuah sesi siaran langsung pada Rabu.
Tambah Ariz, dirinya hanya dibenarkan untuk berjumpa dengan pelakon filem Lembayung itu jika mendapat keizinan dari pihak pengurusan sebelum perintah injunksi itu ditarik semula.
“Ketika injunksi keluar saya tidak boleh dekat dengan dia. Kemudian sudah boleh tetapi bersyarat. Saya boleh jumpa dia kalau diizinkan. Saya kena merayu macam anak anjing,” dakwanya.
Enggan mengeruhkan lagi keadaan, Ariz juga nekad untuk mengundurkan diri dan tidak mahu masuk campur segala urusan peribadi anaknya.
“Sebagai seorang ibu sekarang ini saya cuba untuk berundur selepas tidak lagi diperlukan.
“Saya kena fikir untuk diri sendiri. Cuma sayang, macam saya sudah tiada mak dan setiap kali ziarah pusara arwah saya kalau boleh nak keluarkan dia sebab nak cium dan memeluknya.
“Walaupun Anna ada ibu tapi dia buang saya. Siapa sangka, tapi apa yang berlaku ini adalah ujian Allah,” katanya.
Sebelum ini, Ariz mendedahkan dia menerima perintah injunksi itu pada Disember tahun lalu dan hanya dibenarkan berjumpa Anna dalam jarak 100 meter.
Menerusi perbincangan wakil peguam, perintah larangan itu sudah terbatal namun, masih terikat dengan beberapa syarat yang perlu dipatuhi.
Lebih menyentuh hati, dia kesal dengan tindakan aktres pelakon popular itu kerana melayannya seperti ‘anjing kurap’ biarpun sudah bersusah payah berkorban harta demi kesenangan hidupnya.-UTUSAN