PETALING JAYA: Peguam kepada pelakon, Anna Jobling, Wan Nurliyana Abdul Rahman menafikan tuduhan kononnya ibu aktres tersebut, Ariz Arop dihalau pihaknya keluar dari kereta susulan kemelut yang berlaku, baru-baru ini.
Menerusi sebuah perkongsian di Instagram Story, peguam tersebut turut memuat naik sebuah video memaparkan dirinya membuka pintu kereta sebelum wanita itu menjerit ke arahnya.
“Saya buka pintu kereta kali kedua dan tiada sesiapa pun yang dikeluarkan.
“Dia (Ariz) langsung tidak disentuh atau diusir seperti dakwaan sebelum ini. Saya cuma mengambil kad akses milik Anna dari dalam kereta,” katanya.
Meskipun pihaknya telah berkongsi sebahagian daripada bukti sewaktu kejadian itu berlaku, Nurliyana bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci punca di sebalik kemelut yang berlaku.
Dalam masa sama, peguam kepada pelakon drama bersiri Setia Itu Mahal itu turut menegaskan pihaknya juga tidak mengunci Ariz dari dalam kenderaan tersebut.
“Kereta itu boleh dibuka dari bahagian dalam. Kereta itu tidak berkunci pun, cuma individu berkenaan enggan keluar,” jelasnya.
Dalam video sama, Anna juga dilihat berada di dalam kereta lain sambil memerhatikan ibunya yang masih berada di dalam kenderaan miliknya.
Sejak Isnin lalu, kemelut hubungan Anna dan ibunya menjadi perhatian ramai selepas wanita itu memuat naik sebuah perkongsian dirinya berada di balai polis susulan menerima perintah injunksi yang difailkan oleh anaknya sendiri.
Kesal dengan tindakan pelakon itu, Ariz turut menyifatkan dirinya dilayan seperti anjing kurap oleh Anna dan peguamnya.-UTUSAN