KUALA TERENGGANU: Penganjuran Himpunan RXZ Members 7.0 di Litar Permotoran Gong Badak, Kuala Nerus, di sini hujung minggu lalu bukan sahaja mencatat rekod kehadiran kira-kira 150,000 peserta malah membawa limpahan ekonomi dianggarkan mencecah RM50 juta kepada negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Ariffin Deraman berkata, pengiraan itu dibuat berdasarkan perbelanjaan minimum setiap pengunjung sepanjang dua hari berlangsungnya acara permotoran terbesar tanah air itu.
“Jika seorang peserta membelanjakan sekurang-kurangnya RM100, kita sudah boleh menjana sekitar RM10 juta. Namun dengan anggaran ramai yang berbelanja hingga RM500, nilai keseluruhan suntikan ekonomi boleh meningkat sehingga RM50 juta.
“Selain itu, terdapat kesan berganda apabila hotel, inap desa, restoran, pasar termasuk Pasar Payang serta pusat beli-belah seperti KTCC dan Mayang Mall dipenuhi pengunjung sejak Jumaat lalu,” katanya selepas menghadiri Majlis Pelancaran Skim Pembiayaan Motosikal dan Dana Usahawan Terengganu (DUTE) di sini, semalam.
Menurutnya, penganjuran RXZ Members turut memberi peluang besar kepada lebih 15,000 usahawan kecil berdaftar di bawah Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) serta lebih 20,000 peniaga berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Katanya, kehadiran peserta dari seluruh negara jelas membuktikan Terengganu mampu menjadi tuan rumah kepada acara berimpak tinggi yang memberi manfaat secara langsung kepada komuniti usahawan tempatan.
“Walaupun acara rasmi tamat kelmarin, kita masih dapat lihat ramai pengunjung memilih terus berada di Terengganu sempena cuti hujung minggu. Ini satu bentuk promosi pelancongan yang memberi keuntungan berganda kepada negeri,” ujarnya.
Himpunan RXZ Members 7.0 disifatkan sebagai edisi paling berjaya sejak penganjurannya bermula apabila jumlah penyertaan kali ini meningkat hampir dua kali ganda berbanding edisi keenam pada 2024 yang merekodkan 80,000 peserta. – UTUSAN










