Helloween raikan empat dekad di Kuala Lumpur - Utusan Malaysia

Helloween raikan empat dekad di Kuala Lumpur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kembali beraksi! Itulah janji yang diberikan oleh kumpulan legenda heavy metal yang berpangkalan di Hamburg Jerman, Helloween yang bakal menggegarkan pentas Zepp Kuala Lumpur pada 8 Disember 20 25 bersempena Helloween 40 Years Anniversary Tour”mereka di rantau Asia.

Kuala Lumpur dipilih sebagai salah satu destinasi utama dalam jelajah kali ini, sekali gus menandakan sokongan kukuh peminat terhadap kumpulan yang bertapak dan membina nama sejak empat dekad lalu.

Pentas Zepp Kuala Lumpur yang terkenal dengan sistem audio bunyi dan pencahayaan bertaraf dunia, bakal menjadi medan tempur sempurna untuk kumpulan ini beraksi setaraf dengan kuasa muzik yang dimiliki mereka.

Kumpulan yang ditubuhkan pada 1984 ini dijangka menemui peminat tanah air dengan persembahan lebih unik dan bertenaga selepas kali pertama hadir pada tanggal 28 April 2018 lalu dalam siri jelajah Pumpkins United, sekali gus berjaya menyatukan tiga vokalis utama mereka buat pertama kali sejak puluhan tahun.

Dan menariknya, menurut sumber terdekat, siri jelajah kali ini bakal menyaksikan gabungan barisan anggota asal dan baharu, termasuk Michael Kiske, Kai Hansen dan Andi Deris.

Mempertaruhkan seleksi lagu-lagu hits yang pernah melonjakkan nama mereka sebelum ini seperti I Want Out, Future World, Dr. Stein dan Eagle Fly Free, tidak dinafikan, konsert ini akan menjadi pengalaman epik dan berharga buat peminat setia mereka di Malaysia.

Meletakkan jenama 40 tahun sebagai kunci kekuatan, pastinya konsert yang ditampilkan bukan sekadar persembahan biasa, malah penanda aras yang perlu ditonjolkan sejajar dengan pengaruh mereka yang meluas di seluruh dunia.

Dibawakan khas oleh Rockstage Entertainment, konsert ini adalah sebahagian daripada jelajah dunia yang meraikan empat dekad kejayaan dan pengaruh Helloween dalam dunia muzik metal serta satu penghormatan kepada perjalanan muzik mereka yang membentuk generasi peminat metal sejak era 80-an.

Menurut Pengarah Urusannya, Talib Othman, idea membawa Helloween beraksi di Malaysia adalah langkah tepat memandangkan kumpulan ini mempunyai peminat yang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Selain itu, ia juga hadiah Istimewa buat peminat genre heavy metal tanah air yang mungkin mengimpikan kehadiran sebuah kumpulan bernama besar dari luar negara untuk beraksi di sini.

“Pada 2018 ketika Helloween beraksi di Malaysia kita dapat saksikan sambutan penonton yang luar biasa. Muzik mereka melangkaui pelbagai genre serta generasi, malah peminat baharu juga tidak kekok untuk meminati mereka.

“Satu perkara lagi, tidak banyak persembahan yang mengetengahkan genre heavy metal di Malaysia, jadi sempena ulang tahun mereka yang ke-40 ini kami mengambil peluang membawa mereka beraksi di sini,” ujarnya.

Kehadiran Helloween ke Malaysia bukan sahaja menghidupkan kembali nostalgia era kegemilangan metal klasik, ironinya bakal menjadi inspirasi kepada pemuzik tanah air dan generasi baharu untuk terus berkarya dalam era muzik moden yang semakin mencabar hari ini.

Bukan sekadar retorik, kumpulan ini dijangka mampu mengulangi sejarah lampau melalui rilisan-rilisan hebat yang pernah tercipta antaranya, Walls Of Jericho, Keeper of the Seven Keys Part I & II,

Pink Bubbles Go Ape dan beberapa masterpiece lain yang pernah melonjakkan nama mereka ke persada dunia.

Sempena sambutan empat dekad penglibatan dalam industri global, Helloween kukuh mencipta jenamanya dengan mempamerkan keaslian muzik tersendiri. Konsert ini dijangka menjadi acara bersejarah yang dinantikan dalam kalangan peminat muzik rock dan metal tempatan.

Dalam kiriman videonya tempoh hari, Helloween yang mencetuskan fenomena di benua Eropah, Amerika Latin dan Asia bertekad akan memberikan sebuah persembahan mantap dan maksima kepada peminat di Malaysia, tambahan pula kedatangan kali kedua pastinya memberikan aura berlainan berbanding sebelumnya.

“Walaupun ini kunjungan kali kedua mereka tetapi saya telah membuat kajian serta mendapatkan respons daripada peminat sebelum membuat keputusan, malah ramai berharap agar mereka beraksi sekali lagi di Malaysia.

“Oleh itu, saya menyeru kepada peminat heavy metal di seluruh negara agar dapat hadir menyaksikan momen yang cukup bersejarah sempena 40 tahun penubuhan mereka. Konsert ini pastinya akan menjadi satu pengalaman berharga buat peminat setia mereka di Malaysia,” ujarnya.

Menurut Talib lagi, peminat yang hadir juga bakal menikmati pengalaman persembahan berskala antarabangsa dengan sistem bunyi berdefinisi tinggi dan pencahayaan imersif.

Tiket konsert kini sudah mula dijual menerusi laman rasmi www.myticketempire.com, dengan pilihan bayaran fleksibel melalui Atome, PayLater oleh Grab dan SpayLater oleh Shopee.

Peminat disarankan mendapatkan tiket awal berikutan permintaan tinggi, di samping mengikuti perkembangan semasa melalui saluran media sosial Rockstage Entertainment untuk maklumat terkini.

@utusanonline

Helloween raikan empat dekad di Kuala Lumpur

♬ original sound – Utusan Malaysia – Utusan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN