KUALA KANGSAR: Seni ukiran halus pada hulu keris Perak yang berusia ratusan tahun bakal didokumenkan ekoran ketiadaan maklumat rasmi serta kurangnya pengamal seni itu pada masa kini.
Usaha tersebut digerakkan Persatuan Seni Warisan, Pusaka dan Budaya Negeri Perak (Suwaka) bagi memastikan wujud satu naratif sejarah yang dapat menceritakan kesinambungan alat mempertahankan diri orang Melayu itu di negeri ini.
Yang Dipertua Suwaka, Razmin Mat Sabri berkata, seni berkenaan bukan sahaja perlu dipulihara sebagai warisan, malah mampu dijadikan identiti negeri menjelang Sambutan 500 Tahun Kesultanan Perak pada 2028.
“Tukang keris di Perak semakin berkurangan. Jika tiada usaha dilakukan, pada masa depan hanya tinggal nama tanpa sebarang latar sejarah. Hulu keris ini sebahagian daripada cerita orang Melayu Perak yang sudah berabad lamanya memberi sumbangan kepada dunia Melayu dan negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Razmin, dianggarkan hanya dua orang sahaja dikenal pasti masih memiliki ilmu ukiran halus hulu keris di Perak. Lebih membimbangkan, tiada rekod rasmi atau penceritaan sejarah mengenai kewujudannya.
“Jika ditanya, tiada siapa dapat menjelaskan asal usulnya. Oleh itu, selain melatih pengukir baharu, kami juga sedang mengumpulkan maklumat agar sejarah hulu keris Perak ini dapat dibangunkan semula,” katanya.
Suwaka berjaya memperoleh geran serta sokongan daripada Yayasan Hasanah dan Think City di bawah Khazanah Nasional.
Sebagai permulaan, bengkel pembuatan hulu keris Perak telah dimulakan sejak awal Julai 2025 dengan melibatkan tenaga pengajar ukiran halus dari Besut, Terengganu, Nasir Yunus bagi melatih peserta yang berminat.
Razmin optimis usaha tersebut bukan sahaja mempopularkan semula seni hulu keris Perak, malah mampu melahirkan generasi pelapis tukang ukir yang dapat memastikan warisan berharga itu tidak pupus ditelan zaman. – UTUSAN