PUTRAJAYA: Hamil empat bulan, pelakon jelita, Siti Saleha, 35, mengumumkan akan berehat seketika daripada dunia lakonan sebaik sahaja selesai penggambaran drama bersiri Bad Cop arahan Jason Chong.
Menurut Saleha, keputusan itu dibuat bagi memberi ruang kepadanya berehat menjelang kelahiran cahaya mata sulung bersama suami tercinta, Joshua Fitton.
“Selepas selesai projek yang sedang saya jalani ini, saya akan berhenti seketika daripada penggambaran kerana ia agak memenatkan.
“Buat masa ini, saya hanya mahu berehat dan menenangkan fikiran sehingga bersalin. Apabila keadaan badan kembali bertenaga dan ramping, barulah saya kembali ke set penggambaran,” katanya ketika ditemui pada sidang media Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam.
Mengulas mengenai kehamilan pertamanya, pelakon yang mula dikenali menerusi drama Nora Elena itu bersyukur melalui fasa trimester pertama dengan baik tanpa sebarang alahan atau masalah kesihatan serius.
“Alhamdulillah, saya tidak mengalami alahan, muntah atau mengidam. Cuma penat itu memang ada, seperti wanita hamil lain.
“Jika penggambaran dilakukan ketika trimester pertama dahulu, mungkin saya akan lebih bergelut walaupun tiada alahan.
“Jadi, saya bersyukur jadual penggambaran ditunda ke waktu sekarang,” katanya.
Baru-baru ini, Saleha berkongsi berita gembira mengenai kehamilannya menerusi hantaran video di Instagram, yang dirakam ketika percutiannya bersama Joshua di Bali, Indonesia.
Pasangan ini diijabkabulkan dalam sebuah majlis tertutup di Janda Baik, Pahang, pada Februari lalu.
Dalam perkembangan lain, Saleha turut meraikan kejayaan manis apabila diumumkan sebagai pemenang Selebriti Ikon Terhangat AMT 2025.
Baginya, penghargaan itu adalah rezeki yang hadir seiring fasa baharu kehidupannya sebagai bakal ibu.
“Alhamdulillah, ini rezeki saya, rezeki ‘baby’ dan juga kelab peminat yang sentiasa setia menyokong kerjaya saya sejak lebih 15 tahun lalu.
“Saya berasa amat dihargai kerana mereka menerima saya seadanya dan tidak pernah berhenti memberikan undian,” katanya. -UTUSAN