IPOH: Seorang guru dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelaki berusia 17 tahun pada September tahun lalu.
Tertuduh, Airil Iswan Mat Shamsuri, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara memeluk, mencium mulut dan kedua-dua pipi serta memegang kemaluan mangsa yang ketika kejadian berusia 17 tahun.
Perbuatan itu dilakukan bapa kepada dua anak itu di sebuah rumah di Gerbang Meru Indah pada pukul 10.30 malam, 13 September 2024 dan awal pagi 14 September 2024.
Tertuduh juga didakwa melakukan kesalahan sama dengan menyentuh mangsa bagi maksud seksual ketika berada di dalam bilik warden di sebuah sekolah menengah di Ipoh semasa awal pagi 27 September 2024.
Ketiga-tiga pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dihukum sebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Amalina Harun manakala tertuduh diwakili peguam, Baldip Singh.
Terdahulu, Siti Nur Amalina tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh namun sekiranya dibenarkan mahkamah, jumlah jaminan yang dicadangkan sebanyak RM40,000 selain syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, Baldip memohon jaminan RM5,000 dikenakan bagi setiap pertuduhan yang dihadapi anak guamnya atas alasan tertuduh merupakan penanggung tunggal keluarga dan mempunyai dua anak berusia lapan dan 10 tahun.
“Tertuduh telah berkhidmat sebagai guru selama 15 tahun dan ini merupakan kesalahan pertamanya. Dia juga telah memberi kerjasama yang baik sepanjang proses siasatan termasuk hadir sendiri ke mahkamah hari ini,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan berserta syarat tambahan melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap awal bulan selain tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 24 Oktober depan. – UTUSAN