MACHANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak semua guru pondok di negara ini supaya menguasai bidang kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan institusi yang menjadi benteng akidah umat Islam itu tidak kalah dengan serangan baharu dalam dunia teknologi.
Perdana Menteri berkata, sungguhpun begitu pengajian dan penggunaan kitab perlu dikekalkan.
“Kita tidak ganggu dan amalan itu masih dikekalkan, sebaliknya kita tambah dengan tuntutan baharu iaitu bidang AI. Tanpa penguasaan AI kita akan kalah dan bidang itu hanya menjadi versi berasaskan barat.
“Walaupun tahu AI, kita kena kuasai al-Quran. Sebab itu anak-anak pondok perlu dilatih sertai teknologi dan mengisi keperluan semasa,” katanya semasa berucap pada Majlis Ijtima Madani Ulama dan Guru Pondok Kelantan yang turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Perdana Menteri menyampaikan sumbangan RM1.03 juta kepada institusi pondok yang menghadiri majlis tersebut.
Anwar berkata, institusi pondok perlu diperkasa semula sebagai benteng menghadapi pengaruh sekular, kerosakan moral dan cabaran teknologi masa kini.
Katanya, sejak zaman penubuhan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), sekolah pondok menjadi tunjang mempertahan Islam, malah pernah menjadi benteng menentang penjajah suatu ketika dahulu.
“Kita pilih pondok-pondok ini dan jadikan ia benteng semula. Barulah Madani dalam erti kata sebenar.
“Dulu benteng lawan penjajah, sekarang benteng lawan pengaruh sekular yang merosakkan anak-anak,” ujarnya. – UTUSAN










