PETALING JAYA: Penganjur konsert Panggung Purnama, UdaraLaskhar, mengumumkan tiga penyanyi bakal memeriahkan konsert yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur bulan hadapan.
Menurut wakil UdaraLaskhar, John Labu dua artis solo diterbangkan dari Indonesia iaitu Pamungkas dan Bilal Indrajaya. Turut mengisi slot persembahan ialah kugiran anak muda Malaysia yang semakin mendapat perhatian, Fugo.
“Kami begitu teruja mengumumkan kehadiran Pamungkas dan Fugo ke Panggung Purnama. Gabungan ini adalah sesuatu yang telah lama dinantikan peminat dan kini kami bawakan ia menjadi realiti,” katanya.
Tambah John, pemilihan ketiga-tiga nama ini bukan dibuat secara sembarangan, malah melalui pertimbangan rapi selaras dengan konsep konsert yang ingin dibawa oleh UdaraLaskhar.
“Ketiga-tiga mereka mempunyai kekuatan tersendiri, daripada penampilan, gaya persembahan hingga ke keunikan karya muzik masing-masing.
“Kami yakin Panggung Purnama akan menjadi satu pengalaman yang berbeza, hangat dan intim buat semua yang hadir,” tambah John.
Peminat boleh membeli tiket konsert yang bakal berlangsung pada 28 September ini dengan harga bermula RM179 di www.ilassotickets.com. -UTUSAN