Fify Azmi berlapar setiap hari - Utusan Malaysia

Fify Azmi berlapar setiap hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DARI lagu Doja Cat, Katy Perry, Jennie hingga Billie Eilish, pelakon Fify Azmi menari tidak berhenti. Sesekali menyapa staf yang lalu lalang seolah sahabat lama. Meriah, set bertukar ceria seolah-olah bateri tenaganya penuh sentiasa. Jurugambar mudah membidik foto kerana Fify atau Nur Afiqah Mohamed Azmi sudah tahu cara melenggok badan, memberi gaya terbaiknya.

Namun siapa sangka Fify yang selalu dianggap sebagai orang yang menyala bahagia, membuat suasana suram seperti pesta rupanya ni mempunyai masa lampau yang tawar. Dedah Fify, sejak sekolah lagi dia sudah menjadi mangsa buli sekumpulan senior di sekolah. Setiap hari dia perlu bersiap-siap menyerahkan wang belanja pemberian ayah sebanyak RM3 kepada ‘gangster sekolah’ ini.

“Di sekolah, kalau tidak bagi duit dekat mereka orang akan pulaukan kita. Tiada sesiapa mahu berkawan. Jadi, setiap hari saya kena sedia bagi duit belanja sebab takut kena pulau atau kena sesuatu yang lebih teruk.

“Memang ikutkan hati tidak mahu bagi, tapi kita masih kecil tidak berani lawan. Sebab pernah ada yang bangkang, jadi, mereka sepakat keluarkan arahan untuk boikot, jangan bagi sesiapa dekat dengan mereka. Cuba bayangkan apa jadi kalau beritahu guru, pasti lebih teruk.

“Jadi, saya berlapar sahaja sepanjang sekolah, balik rumah baru makan dengan lahap. Setiap hari menangis sebab geram tapi tidak mampu buat apa-apa. Lama juga perkara itu berlaku kepada saya sampai habis sekolah,” katanya kepada Pancaindera.

Finalis Dewi Remaja 2014/2015 itu bagaimanapun bersyukur kerana ada satu ketika terdapat sekumpulan pelajar yang sepakat mahu melindunginya.

“Mungkin sebab saya ikut sahaja cakap mereka, saya menjadi mangsa yang mudah. Cuma ada satu masa itu saya ingat lagi budak kelas belakang bangkit bersuara untuk saya. Tegur gangster itu semua. Sementara yang kelas hadapan selalunya buat kerja masing-masing.

“Tapi ‘suara’ itu pun tidak memberi kesan yang kuat cuma sampai hari ini saya hargai usaha itu,” ceritanya.

Apa yang dihadapi Fify mungkin tidak begitu teruk jika dibandingkan dengan kes pembulian fizikal sehingga menyebabkan kecederaan bahkan kematian. Namun, kecil atau besar, pembulian tetap pembulian. Jenayah tetap dianggap jenayah sebab selalu ada trauma emosi yang tersisa.

Pelakon yang meledak dengan filem Wira ini bagaimanapun yakin, pembuli tetap akan membawa sikap manipulasi, merasa diri penting dan merendahkan orang lain jika sikap itu tidak ditegur.

“Bagi saya sesiapa yang membuli tetap salah. Cuma saya selalu terfikir pembuli perempuan sebenarnya lebih bahaya berbanding lelaki. Sebab apa? Bayangkan, perempuan dicipta dengan naluri keibuan, sayang, santun dan rasa ambil berat.

“Tapi bila bila dengar kes pembuli perempuan, saya terdetik sanggup betul mereka ini buat begitu. Menakutkan. Bila fikir seorang diri, saya menangis sebab bagaimanalah anak-anak di kemudian hari jika sikap perempuan begini?

“Jika mereka ada anak suatu hari nanti, bagaimana? Tidak takutkah semuanya akan berbalik kepada mereka?” soal Fify.

DIEKSPLOITASI PIHAK PRODUKSI

Ketika awal-awal mahu bergelar pelakon pada usia 18 tahun, dia sempat dibuli oleh sebuah pasukan produksi yang tidak didedahkan namanya. Kehadiran Fify yang sepatutnya menjadi pelakon telah dieksploitasi apabila pihak produksi itu menggunakan keretanya tanpa sebarang bayaran sehingga rosak.

“Awak hendak tahu, waktu pertama kali saya dapat tawaran jadi pelakon, saya gembira sangat. Waktu itu lepas habis sekolah. Ini memang apa yang saya idamkan. Tapi ketika masuk sahaja set penggambaran pertama, semuanya tak macam apa yang disangka.

“Masa mula-mula masuk industri, saya kena buli. Mentang-mentang saya tidak tahu apa-apa, masih muda, mereka lenjan kereta saya untuk digunakan dalam cerita. Tapi waktu itu saya fikir, tidak mengapalah, diam sahajalah sebab kalau mereka suka saya, mereka akan panggil lagi. Sungguh naif.

“Kereta itu arwah bapa beli second-hand. Mana larat enjin jika mahu hidupkan 24 jam. Tapi mereka guna sepanjang penggambaran. Ada satu ketika, waktu balik penggambaran kereta jerking (tersengguk-sengguk). Bayangkan waktu itu saya memandu sendirian pukul tiga pagi di kawasan Sungai Congkak.

“Saya takut sangat. Tengok kiri kanan tak ada apa-apa pun,” ceritanya.

Keesokkan harinya, selepas menghantar kereta untuk dibaiki, Fify tidak lagi dapat meminjamkan kenderaannya. Reaksi yang diterima daripada pihak yang sama amat mengecewakan. Bukannya simpati, dia sebaliknya dimarahi kerana tidak dapat menyediakan ‘kemudahan’ seperti biasa.

“Bila tidak dapat kereta, mereka marah-marah. Mengamuk! Mereka kata ‘Ini dah kereta konti!’ Saya macam, kereta konti apa? Mereka tidak cakap pun hendak pakai berapa hari. Sudahlah kereta rosak,” luahnya, kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab mereka.

Pengalaman pahit itu hampir mematahkan semangatnya untuk meneruskan impian sebagai pelakon. Dia pulang ke rumah, menangis dan mengadu kepada ibunya, merasakan industri seni bukanlah tempat untuknya.

“Balik terus mengadu dekat emak kalau macam inilah dunia seni, orang layan kita begini. Lupakanlah semua. Saya tidak mahu lagi. Tak sangka pengalaman pertama jadi pelakon seteruk ini,” ceritanya.

Insiden tersebut menjadi pengajaran terbesar buat Pelakon Wanita Harapan, Festival Filem Malaysia ke‑31 itu. Ia bukan sahaja mengajarinya tentang realiti pahit di sebalik tabir glamor, tetapi juga memaksanya untuk akhirnya meninggalkan sikap terlalu ‘baik hati’ yang sering memakan dirinya.

Namun begitu, Fify mula menyedari kematian bapanya, Mohamed Azmi akibat serangan asma pada 2014 memberi tamparan hebat sekali gus mengubah personalitinya. Fify yang begitu manja dengan ayah menyedari tempat bergantung emosi dan kewangannya sudah tiada lagi di dunia. Reda atau tidak, sedia atau belum, dia harus cepat meletak tanggungjawab sebagai salah satu daripada tulang belakang keluarga.

“Rasanya ayah meninggal itu turning point yang besar dalam hidup. Sejak hari itu, saya agak ‘keras kepala’, ‘keras hati’. Tidak mudah lagi nak cakap ya untuk semua benda. Saya mula bersuara untuk diri sendiri sebab tahu tiada siapa lagi hendak buat begitu untuk saya,” katanya.

TIADA ISTILAH MUSUH, BENCI BUAT NIEZAM ZAIDI

Ketika sesi fotografi menghampiri ke hujung, tiba-tiba kelibat pelakon, Niezam Zaidi muncul memberikan kejutan. Dia senyum mesra tidak menganggu kami sekadar curi-curi merakam ‘rakan sekerjanya’ beraksi sambil memakai baju jersi putih merah dengan tulisan ‘Fify’.

Sebelum ini, Fify pernah mengesahkan hubungan cinta mereka sudah berakhir dan hanya kekal berkawan. Pelakon itu tersipu-sipu malu ketika ditanya apakah status terkini mereka berdua?

“Waktu kami berjumpa pertama kali dulu, kita sama-sama sokong, beri semangat dan motivasi. Sama-sama pernah jatuh dan berada di fasa terendah. Cuma dalam mana-mana perhubungan jika sudah tamat pun kita tidak mahu berakhir sebagai musuh.

“Saya tidak mahu ada perasaan hasad dengki atau apa-apa. Saya tidak menutup hati untuk sebarang kemungkinan (kembali bersama) jadi doakanlah baik-baik. Sebab, jodoh ditentukan Allah,” katanya.

Bagaima­napun, jelas Fify, dia tumpang berbangga apabila bakat lakonan Niezam semakin mencuri tumpuan ramai.

“Saya rasa gembira dan bangga dengan rezeki yang dikecapi Niezam hari ini. Kita tidak tahu bila kejayaan boleh dicapai yang penting perlu lalui sahaja. Begitu juga bila sudah di atas, kita pun tidak tahu bila boleh ke bawah kembali,” katanya.

Diminta mengulas karakter Niezam sepanjang perkenalan mereka, Fify menafikan dakwaan yang mengatakan pelakon Dia Bukan Syurga itu seorang yang baran dan garang seperti yang pernah kecoh dibincangkan warga maya beberapa bulan lalu.

“Dia sangat bertentangan dengan karakter Tajul itu. Saya tidak bolehlah hendak kata lebih-lebih tapi saya tahu bagaimana manja dan lembutnya hati dia. Siapa yang kenal, kenallah,” katanya menutup perbualan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN