Fasha Sandha makan dua sudu nasi sehari untuk kekal cantik

Fasha Sandha makan dua sudu nasi sehari untuk kekal cantik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Fasha Sandha mengakui gaya pemakanan yang sihat dan seimbang membantu dia untuk mengekalkan berat badan ideal sehingga ke hari ini.

Kata Fasha, pola pemakanan sedemikian diamalkannya sejak dinasihatkan doktor untuk mengubah diet harian kepada lebih terkawal untuk mengatasi masalah berat badan yang dialaminya dua tahun lalu.

“Berat badan saya mudah bertambah selepas saya melahirkan anak. Tetapi Alhamdulillah saya dapat kawal apabila saya jaga pemakanan dan amalkan minuman untuk buang toksin dalam badan.

“Dan saya juga sentiasa kurangkan pengambilan gula dalam minuman dan makanan serta berpada-pada bila makan.

“Paling penting saya makan dua sudu nasi sahaja dalam sehari, iaitu pada waktu pagi. Saya akan menyesal sekiranya makan nasi secara berlebihan. Jadi pada malam saya hanya makan lauk dan sayuran sahaja,” katanya.

Fasha berkata demikian pada majlis pelancaran cawangan Kopi Saigon miliknya dan suami, Aidil Aziz bertempat di MyTOWN Cheras, semalam.

Pelakon itu mengulas mengenai amalan yang membuatkan dia kekal jelita dan kelihatan muda pada usia 41 tahun.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu dalam pada itu mengakui sejak dulu selesa menjalani kehidupan yang sederhana meskipun bergelar seorang selebriti.

Kata Fasha, gelaran artis hanya sekadar pekerjaan dan tidak sedikitpun mengubah cara kehidupnya yang sama seperti orang biasa.

“Saya ini orangnya sederhana, tidak pernah anggap diri saya selebriti. Mungkin saya bergelar artis apabila saya bekerja sahaja.

“Kalau bukan waktu bekerja, hidup saya sama seperti orang lain. Ini cara saya menjalani kehidupan dari dulu sehinggalah sekarang.

“Dan sikap saya yang sekarang sama seperti dahulu. Masyarakat akan lebih dekat kalau kita merendah diri dan jadi diri sendiri. Tetapi saya bukanlah manusia sempurna, ada kekurangan,” katanya.

Bercakap mengenai pemilikan cawangan Kopi Saigon di kompleks beli belah MyTOWN, Fasha bersyukur kerana berpeluang mendirikan perniagaan bersama suami tercinta.

“Apabila sudah memiliki cawangan sendiri, saya dan suami perlu beri komitmen penuh untuk bangunkan perniagaan ini.

“Ramai tahu yang saya sebelum ini pernah mengusahakan sebuah salon dandan rambut yang bertahan selama lapan tahun.

“Sekarang saya dan suami ada kelapangan dan kami berpeluang pula untuk usahakan perniagaan cawangan Kopi Saigon di MyTOWN ini,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN