PUTRAJAYA: Penggunaan teknologi terkini dioptimumkan dalam setiap pelaksanaan projek infrastruktur yang strategik menjadi keutamaan Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam kerangka pembangunan negara Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
Ini merangkumi jaringan jalan raya, lebuh raya, jambatan, bangunan serta kemudahan asas awam.
KKR dalam kenyataan memaklumkan, pelan pembangunan lima tahun ini bukan sekadar projek fizikal tetapi akan meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan pemangkin masa hadapan yang lebih adil dan makmur untuk semua.
Katanya, ia meliputi enam fokus projek infrastruktur strategik dalam tempoh itu antaranya meningkatkan akses sempadan dan kesalinghubungan antarabangsa, seperti penaiktarafan jambatan Rantau Panjang–Sungai Golok yang menghubungkan Malaysia dan Thailand.
Ini termasuk jalan Kalabakan Simanggaris yang menjadi laluan penghubung antara Malaysia dan Indonesia.
“Kesalinghubungan Lebuh Raya Antara Negeri dan Nasional, termasuk pembinaan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) dari Bentong, Pahang ke Kuala Krai, Kelantan yang dijangka memberi rangsangan besar kepada pembangunan Pantai Timur.
“KKR juga komited menyiapkan Projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak dalam tempoh RMK13, di samping meneruskan pembinaan Sarawak–Sabah Link Road (SSLR) dan Lebuhraya Trans Borneo sebagai pemacu utama integrasi Borneo,” katanya.
KKR berkata, keupayaan lebuh raya utama dinaik taraf, termasuk kerja pelebaran laluan PLUS dari Juru ke Sungai Dua di Pulau Pinang dan dari Senai Utara ke Machap di Johor, bagi menyokong pertumbuhan ekonomi Koridor Utara dan Selatan.
Katanya, sokongan kepada infrastruktur luar bandar, yang menyasarkan pembinaan dan naik taraf jalan luar bandar sepanjang 2,800 kilometer (km) menjelang 2030, berbanding 2,436 km pada tahun 2024.
“Penambahbaikan turut merangkumi jalan kampung, sistem saliran dan utiliti asas khususnya di kawasan FELDA, FELCRA dan wilayah pembangunan luar bandar.
“Keselamatan jalan raya dan pengurusan infrastruktur pintar ditingkatkan, dengan pemasangan lebih banyak lampu jalan, lampu isyarat, sistem pemantauan had laju dan peralatan keselamatan lain untuk melindungi pengguna jalan raya,” katanya.
Sebagai peneraju dalam sektor pembinaan negara, KKR juga akan terus memperkasakan penggunaan teknologi moden dalam projek pembinaan.
Ini seperti Building Information Modelling (BIM), Sistem Binaan Berindustri (IBS) untuk pengurusan projek yang lebih cekap, berkualiti, mengikut jadual di samping mengurangkan kos dan kebergantungan kepada pekerja asing.
“KKR akan terus mengadaptasi inisiatif pendigitalan melalui Program MyJalan, HNDP, NCIP dan RAMS bagi memperkukuh perancangan, pembinaan dan penyenggaraan infrastruktur negara ke arah yang lebih berkualiti, mampan, responsif dan kos-efektif.
“Langkah ini dengan mengurangkan Extension of Time (EOT) yang akan menjejaskan perbelanjaan negara dan melambatkan manfaatnya sampai kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN