GEORGE TOWN : Enam warga Indonesia cedera apabila bas kilang yang mereka naiki mengalami kemalangan di selekoh berbukit berhampiran Suria Vista Apartment, Jalan Paya Terubong, Ayer Itam di sini, pagi tadi.
Mereka yang cedera berusia antara 22 hingga 26 tahun dan kesemua mangsa dikatakan mengalami kecederaan ringan pada bahagian muka, kaki dan tangan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 7.24 pagi ketika bas tersebut dalam perjalanan dari Kampung Jawa menghala ke Paya Terubong.
Katanya, ketika kejadian, bas yang membawa 30 penumpang termasuk seorang pemandu itu dikatakan mengalami masalah pada sistem brek sebelum terbabas.
“Kesemua penumpang termasuk pemandu berjaya dikeluarkan daripada bas terbabit dalam keadaan selamat.
“Secara keseluruhannya, hanya enam daripada mereka (pekerja kilang) mengalami kecederaan ringan manakala 24 lagi (termasuk pemandu bas) tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini, hari ini.
Menurut beliau, operasi penyelamatan dilakukan dengan menggunakan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS).
“Mangsa yang cedera kemudian diserahkan kepada pihak ambulan milik Kementerian Kesihatan (KKM) yang turut berada di lokasi kejadian sebelum dibawa ke hospital bagi menerima rawatan susulan.
“Kerja-kerja pembersihan sisa-sisa kemalangan turut dilakukan di lokasi bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain,” katanya yang memberitahu, operasi tamat sepenuhnya kira-kira pukul 8.27 pagi.-UTUSAN