Ellie Suriaty tidak kenakan bayaran kelas lakonan, anggap bekalan akhirat - Utusan Malaysia

Ellie Suriaty tidak kenakan bayaran kelas lakonan, anggap bekalan akhirat

PETALING JAYA 12 JUN 2025 - Ellie Suriaty pada Majlis Pelancaran dan Tayangan Perdana ‘Hilang Kasyorga’ di TGV Bandar Utama di sini, hari ini. / M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Ellie Suriaty, mengakui tidak pernah mengenakan sebarang bayaran kepada mana-mana pelakon yang datang untuk berguru dengannya. 

Ellie atau Ellie Suriaty binti Omar, 53, menganggap ilmu yang dimilikinya adalah anugerah daripada Allah yang wajar dikongsikan kepada orang lain tanpa sebarang tukaran wang ringgit.

“Alhamdulillah ramai yang datang belajar dengan saya dan saya tak caj. Memang dari dulu. 

“Saya rasa saya tak boleh kenakan caj. Sebab saya rasa tak seronok. Kalau produser yang panggil saya, saya caj sebab ada kontrak dan bajet sebab saya pun penerbit, jadi saya tahu bagaimana proses itu.

“Jadi yang itu saya caj, tak kisahlah nak hantar pada saya berapa orang, 10 hingga 20 orang, caj tetap sama. Saya pula jenis mengajar ‘cover to cover’. Tapi kalau aktor datang pada saya, tak kira berapa kali pun, saya tak boleh nak caj,” katanya ketika ditemui di majlis tayangan filem Paraxnormal, di sini, baru-baru ini. 

Tambah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-16 (FFM16) itu lagi, walaupun ada pelakon yang berkeras mahu berikan bayaran, dia tetap tidak boleh menerimanya kerana sudah berniat mahu menjadikan ilmu itu sebagai sedekah. 

“Tiga perkara yang saya mahu bawa mati, antaranya adalah ilmu bermanfaat yang saya tinggalkan untuk yang masih hidup. Dulu Maya Karin pernah kejar saya (untuk membayar), masa itu dia buat filem Munafik 2. 

“Dia dapat skrip saja dia datang jumpa saya. Dia sudah habis shoot, dia datang jumpa saya di pejabat tapi saya tak nak. Dia kejar saya dan berlari, tapi saya tetap tak nak, saya tak boleh ambil walau macam mana pun awak paksa. 

“Sebab sedekah itu lagi besar, kerana ilmu itu dia boleh bagi pada orang lain juga kalau orang itu tak sempat belajar dengan saya,” katanya. 

Selain Maya, Ellie bersyukur kerana sepanjang hidup dia berkesempatan melatih pelakon yang kini sudah mencipta nama seperti Datuk Remy Ishak, Mira Filzah, Kamal Adli, Siti Khadijah dan Izara Aishah. 

“Mira Filzah semua datang belajar dengan saya, sejak saya ‘coach’ dia menerusi filem arahan Osman Ali, Munajat Kekasih. Remy Ishak pu  ada sebelum jadi Datuk, Kamal Adli, Siti Khadijah pun pernah sebab kontrak latihan untuk filem Munajat Kekasih

“Izara Aishah pun datang pada saya selepas dia putuskan untuk buat kemunculan semula menerusi Keluarga Itu. InsyaAllah bila saya ada masa bolehlah saya luangkan masa.

“Tapi kalau masa tidak mengizinkan, memang saya minta maaf. Saya selalu rasa tak seronok kalau saya tak boleh tunaikan, jadi saya akan cuba bantu juga,” katanya. 

Bercerita lanjut mengenai kaedah pembelajaran, Ellie berkata tempoh masa yang ideal untuk belajar adalah seminggu namun boleh mengatur strategi lain sekiranya anak didiknya tidak mempunyai masa yang banyak untuk diluangkan.

“Saya ada cara, mengikut berapa hari awak ada dengan saya. Kalau awak ada hanya dua jam, saya tahu apa yang nak disampaikan dalam tempoh itu.

“Kalau tiga hari atau seminggu, saya tahu bagaimana nak ‘tune’. Tapi kalau untuk filem saya akan ‘coach’ dari ‘cover to cover’, iaitu mengambil masa lebih kurang seminggu atau 10 hari,” katanya. 

Dalam perkembangan lain, Ellie akan tampil menerusi filem Paraxnormal, sebuah karya seram psikologi komedi yang membawa pendekatan segar dalam genre seram tempatan.

Diterbitkan oleh Nanord Studio Production, filem ini menggabungkan unsur seram, psikologi, komedi gelap dan konflik persahabatan. Ia turut dibintangi oleh Joey Daud, Azhan Rani, Epy Kodiang, Amir Nafis dan Kamarool Yusoff.

Paraxnormal yang akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 28 Ogos ini. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN