PUTRAJAYA: Seorang ejen insurans wanita ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki bersubahat dalam pelaburan palsu bernilai kira-kira RM21 juta.
Perintah reman selama lima hari sehingga 24 Ogos ini telah dikeluarkan oleh Majestret Izra Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Menurut sumber, suspek berusia 40-an ditahan kira-kira pukul 9 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
“Suspek dipercayai melakukan kesalahan tersebut sekitar 2023 sehingga tahun ini.
“Siasatan awal juga mendapati seramai 22 pelabur telah diperdaya untuk melabur sebanyak RM21 juta di sebuah koperasi di Lembah Klang, namun wang pelaburan tersebut tidak diterima oleh koperasi berkenaan dan pelabur hanya diberi sijil pelaburan palsu,” katanya hari ini.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan itu dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – UTUSAN