DUN: 15,000 rumah mampu milik dibina di Kedah menjelang 2030

DUN: 15,000 rumah mampu milik dibina di Kedah menjelang 2030

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan negeri menyasarkan pembinaan sebanyak 15,000 unit rumah mampu milik menjelang 2030 bagi menyediakan kehidupan yang mampan dan berdaya huni khususnya untuk rakyat negeri Kedah.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kedah, Mansor Zakaria berkata, berdasarkan data kelulusan Kebenaran Merancang di setiap PBT, sebanyak 9,157 unit rumah mampu milik diunjurkan di Kedah dari 2020 hingga kini.

“Rekod tertinggi adalah sebanyak 6,306 unit yang telah diluluskan di Daerah Kuala Muda. Jika mengikut rekod-rekod ini , data ini hanyalah angka sahaja. Tetapi jika dibandingkan dengan pembinaan sehingga siap sepenuh sangatlah berbeza. 

“Namun, dengan semua inisiatif yang telah dilaksanakan, angka-angka ini akan direalisasikan sehingga pembinaan siap dan mengharapkan agar pemaju dan agensi yang terlibat dapat meneruskan usaha-usaha yang berterusan demi rakyat untuk memiliki sebuah rumah impian setiap keluarga,” katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ke-15 di sini, hari ini.

Mansor (PN-Kuala Ketil) menjawab pertanyaan Bau Wong Bau Ek (PH-Sidam) yang meminta kerajaan negeri menyatakan langkah dan usaha bagi menampung keperluan penduduk yang kurang mampu agar dapat membeli rumah sendiri.

Beliau berkata, berdasarkan Dasar Perumahan Negeri Kedah, terdapat dua kategori rumah mampu milik ditetapkan iaitu masing-masing berkeluasan 700 dan 750 kaki persegi dengan harga antara RM60,000 hingga RM220,000.

“Untuk Rumah Mampu Milik B bertingkat, julat harganya daripada RM60,000 hingga RM100,000 dan bertanah pula antara RM100,000 ke RM160,000 manakala Rumah Mampu Milik A bertingkat ditetapkan pada harga RM90,000 ke RM160,000 serta bertanah RM160,000 ke RM220,000.

“Syarat-syarat untuk membeli rumah mampu milik juga telah dikaji semula dengan lebih fleksibel, contohnya kalau dahulu yang berkahwin sahaja boleh membeli tetapi sekarang yang tidak berkahwin pun turut boleh membeli rumah mampu milik di Kedah,” katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri turut memperkenal sistem permohonan secara dalam talian yang dikenali sebagai iHOME bagi semua penjualan rumah mampu milik di dengan sistem itu hanya mempamerkan rumah yang telah mendapat kelulusan harga jualan daripada agensi kerajaan dan akan dibina serta disiapkan dalam tempoh tertentu. 

Beliau berkata, iHOME lebih efisien kepada pemohon kerana rumah yang dipamerkan dalam sistem itu memang sudah berada di pasaran sekali gus peluang untuk membeli atau memiliki rumah mampu milik lebih telus dan terbuka.

“Selain itu, kediaman SPNB juga merupakan satu inisiatif bagi menampung keperluan penduduk di Kedah. Ia adalah projek pembangunan perumahan bercampur di atas tanah kerajaan atau agensi Persekutuan dan negeri serta swasta yang terbuka kepada semua golongan terutamanya B40 dan M40 dengan kebanyakannya harga jualan tidak melebihi RM300,000,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN