KUALA LUMPUR: Penerbit dan pengarah, Datuk Yusof Haslam bangga melihat perubahan Kuala Lumpur yang dahulunya dipenuhi hutan kepada sebuah kota metropolitan dalam tempoh 68 tahun.
Yusof atau Mohd Yusof Md Haslam, 71, berpendapat kemajuan yang dikecapi negara hari ini adalah hasil usaha para pemimpin yang mengambil berat terhadap kemajuan bangsa dan negara tanpa mengira parti.
“Saya sudah 71 tahun, bermakna lahir tiga tahun sebelum merdeka, saya sudah lalui hidup di Kuala Lumpur selepas berhijrah dari Perak. Saya duduk rumah setinggan dan menyaksikan bagaimana Kuala Lumpur daripada hutan membangun di depan mata.
“Negara ini sudah jauh kehadapan, terima kasih kepada kerajaan tidak kira parti mana yang memerintah sekalipun. Kepimpinan kerajaan membangunkan rakyat dan negara itu yang kita hormati,” katanya.
Yusof ditemui Utusan Malaysia di majlis doa selamat filem Malaikat Maut, baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, mengulas mengenai pembangunan industri perfileman negara, Yusof menyifatkan penubuhan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sebagai inisiatif penting kepada anak seni negara.
“Terima kasih atas keprihatinan kerajaan membangunkan negara terutama dalam industri perfileman. Zaman Allahyarham Tan Sri P Ramlee dulu, FINAS belum ada.
“Kalau beliau masih hidup sampai hari ini, mungkin beliau lebih jauh ke hadapan. Kita yang masih ada hari ini harus bersyukur dengan nikmat kerajaan yang ambil berat soal industri,” katanya.
Bagaimanapun, pemilik syarikat produksi Skop Productions Sdn Bhd itu mengingatkan penggiat seni agar tidak pentingkan diri kerana dakwanya ada yang meminta Finas dibubarkan.
“Semoga kita jadi bangsa yang tahu berterima kasih. Saya marah dengan pihak yang minta FINAS ditutup kerana mereka pentingkan diri. Bila dapat hak, mereka diam, bila tak dapat, mereka hentam. Itu bangsa yang tak bersyukur,” jelasnya. -UTUSAN