Dua rakyat Malaysia dibakar: Kedutaan Malaysia pantau mangsa

Dua rakyat Malaysia dibakar: Kedutaan Malaysia pantau mangsa

PEJABAT Kedutaan Malaysia di Thailand memberi jaminan kepada keluarga dua pelancong Malaysia yang dibakar dalam satu kejadian di sini pada Khamis bahawa pihaknya akan memantau dengan teliti keadaan mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Pejabat Kedutaan Malaysia di Thailand memberi jaminan kepada keluarga dua pelancong Malaysia yang dibakar dalam satu kejadian di sini pada Khamis bahawa pihaknya akan memantau dengan teliti keadaan mereka.

Memetik laporan Bernama, Kuasa Usaha Sementara Malaysia ke Thailand Bong Yik Jui, berkata kedua-dua mangsa berada dalam keadaan stabil walaupun masih dirawat di unit rawatan rapi.

Bong berkata, Gan Xiao Zhen, 27, mengalami luka bakar tahap kedua pada 36 peratus bahagian tubuhnya, merangkumi muka, dada dan lengan, manakala Ong Yik Leong, 26, turut mengalami luka bakar tahap kedua pada bahagian atas badan, meliputi bahagian depan dan belakang.

“Walaupun ahli keluarga berada di sini atau telah pulang ke Malaysia, kedutaan akan terus memantau perkembangan mangsa bersama pihak hospital,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Police General Hospital, di sini, semalam.

Dua rakyat Malaysia itu, Xiao Zhen dan teman lelakinya, Yik Leong, diserang oleh seorang lelaki yang didakwa mencurahkan cecair pelarut sebelum membakar mereka berhampiran sebuah pusat beli-belah di Jalan Ratchadamri pada kira-kira jam 10 malam Khamis lalu.

Sementara itu, dalam sesi taklimat kepada ahli keluarga mangsa pada Sabtu, Penolong Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan dan Sukan Thailand Seksun Ngawsuwan, berkata kerajaan Thailand akan memperuntukkan sejumlah dana khusus bagi membantu kos rawatan mangsa.

“Kami akan membantu ahli keluarga sedaya mungkin bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar,” katanya.

Beliau menambah kedua-dua mangsa dijangka memerlukan kira-kira sebulan rawatan di Thailand bagi memastikan luka sembuh sepenuhnya tanpa jangkitan.

Ketika ditanya bila mangsa boleh dipindahkan kembali ke Malaysia, Seksun berkata ia bergantung kepada pemerhatian dan cadangan doktor.

“Saya faham ia adalah cabaran buat ahli keluarga untuk tinggal di sini menjaga orang tersayang. Namun, selagi mereka belum benar-benar pulih, terlalu berisiko untuk memindahkan mereka ke Malaysia,” katanya.

Pada Jumaat, Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand, Sorawong Thienthong, menyuarakan kesal terhadap insiden yang menimpa dua pelancong Malaysia itu.

Sorawong berkata, kementeriannya mengambil serius perkara tersebut dan telah mengarahkan semua agensi di bawahnya, khususnya Polis Pelancong dan agensi keselamatan, untuk segera memberi bantuan dan pengawasan rapi, di samping memperkukuh langkah keselamatan bagi meningkatkan keyakinan semua pelancong yang berkunjung ke Thailand. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN