Dua maut nahas tiga kenderaan di Gerik - Utusan Malaysia

Dua maut nahas tiga kenderaan di Gerik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun antara dua maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 84.6, Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu di sini semalam.

Mangsa, Muhammad Ahyad Mohamad Daud yang menaiki van jenis Nissan C22 Vanette itu meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu van, Mohd. Rozman Ghazali, 45, pula menghembuskan nafas terakhir di Hospital Gerik.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, maklumat kemalangan membabitkan van dinaiki mangsa, Proton Wira dan Proton Preve itu diterima pada pukul 9.15 malam.

Katanya, ketika kejadian, van dinaiki kedua-dua mangsa bersama seorang lagi penumpang berusia 30 tahun berhenti di bahu jalan dari arah Kuala Kangsar ke Gerik akibat kehabisan minyak.

“Pada masa sama, sebuah kereta Proton Wira dipandu lelaki berusia 19 tahun cuba mengelak ke kiri dari melanggar Proton Preve yang berada di hadapan namun tindakan itu menyebabkan kenderaan dipandunya melanggar kedua-dua mangsa yang sedang mengisi minyak.

“Nahas itu menyebabkan kedua-dua mangsa cedera parah sebelum seorang daripada mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi ketika menerima rawatan di Hospital Gerik,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pemandu dan penumpang dua kenderaan lain tidak mengalami kecederaan dalam kejadian itu.

“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Gerik untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN