Dua biji ‘Taiko’ gugur bawa tuah

Dua biji ‘Taiko’ gugur bawa tuah

DURIAN ‘PL Taiko’ milik Muhd. Izzudin Izhar merangkul tempat pertama pertandingan Durian Kampung Premium sempena Sambutan Hari Durian Peringkat Daerah Raub 2025 di Pusat Latihan Pertanian Pintu Padang, Gali, Raub, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Dua biji durian dari pokok tua di Kampung Tras di sini, membawa tuah buat Muhd. Izzudin Izhar, 30, apabila dinobatkan juara Pertandingan Durian Kampung Premium sempena Sambutan Hari Durian Peringkat Daerah Raub 2025 di sini.

Diberi nama ‘PL Taiko’, buah daripada varieti tembaga Pahang itu memiliki rasa yang cukup lengkap termasuk manis, berlemak, warna kekuningan dan beraroma sekali gus menewaskan sembilan durian kampung lain yang bertanding.

Muhd. Izzudin berkata, dia tidak sangka penyertaan julung kali dalam pertandingan itu membawa tuah kepadanya dan membawa pulang wang tunai RM300 beserta hadiah iringan.

Katanya, PL Taiko adalah pokok durian usia lebih 20 tahun yang ditanam datuknya di di Kampung Tras dan masih berbuah hingga kini.

“Saya anggap kemenangan ini sebagai rezeki Allah SWT. Ditambah untuk musim ini, pokok induk PL Taiko hanya berbuah sekitar 10 biji.

“Sebelum pertandingan, saya berdoa supaya ada buah yang gugur. Syukur doa saya dimakbulkan apabila dua biji durian gugur untuk dibawa bertan­ding,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas Program Hari Durian Daerah Raub bertempat di Pusat Latihan Pertanian Pintu Padang, Gali di sini, kelmarin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN