PETALING JAYA: Pelakon, Soffi Jikan yang kini dirawat di Hospital Sultan Idris Shah Serdang, Selangor hanya bergantung kepada ubat antibiotik selepas disahkan menghidap jangkitan kuman pada jantung.
Bagaimanapun, Soffi atau Mohammad Shoffi Jikan, 54, masih di bawah pemantauan doktor dan menanti keputusan sama ada perlu menjalani pembedahan atau tidak.
“Betul, memang disahkan ada jangkitan kuman pada jantung. Sekarang bergantung kepada ubat antibiotik.
“Jika keadaan semakin teruk, saya perlu melakukan pembedahan. Cuma saya harap, orang ramai dapat doakan agar saya tidak perlu dibedah.
“Itu sahaja harapan dan doa saya. Selama ini bergantung kepada ubat antibiotik untuk bekerja. Sekarang tidak tahulah bagaimana, Allah sahaja yang tahu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, pelakon Man Laksa itu mengakui kerap melakukan sesi siaran langsung bukan hanya untuk berinteraksi dengan peminat, tetapi bagi melegakan tekanan yang dialaminya sepanjang tempoh rawatan.
“Perjalanan saya masih panjang untuk sembuh. Saya buat sesi siaran langsung sebab stres dan bosan sebulan ditahan di hospital.
“Dulu saya dirawat di Hospital Sungai Buloh kini pindah pula ke Serdang,” katanya.
Terdahulu menerusi satu hantaran TikTok, rakan kepada Soffi, Hasyim berkongsi keadaan kesihatan pelakon itu yang semakin membimbangkan akibat jangkitan kuman pada jantung.
Julai lalu, Soffi dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh selepas mengalami jangkitan kuman pada hati. –UTUSAN







