Didakwa seleweng RM13 juta, Hwang Jung-eum berdepan penjara tiga tahun - Utusan Malaysia

Didakwa seleweng RM13 juta, Hwang Jung-eum berdepan penjara tiga tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEJU: Pelakon popular Korea Selatan, Hwang Jung-eum berdepan hukuman penjara tiga tahun selepas didakwa melakukan penyelewengan wang lebih 4.3 bilion won (RM13 juta) daripada agensi pengurusan artis milik keluarganya, Hunminjeongeum Entertainment.

Permohonan hukuman itu dikemukakan oleh pihak pendakwa raya di hadapan hakim Lim Jae-nam semasa sesi perbicaraan akhir yang berlangsung di Mahkamah Daerah Jeju, Bahagian Jenayah 2, semalam.

Dalam perbicaraan itu, Hwang menghadapi pertuduhan pecah amanah di bawah Akta Hukuman Berat bagi Jenayah Ekonomi Tertentu, selepas didakwa menyeleweng wang berjumlah 4.34 bilion won daripada Hunminjeongeum Entertainment.

Pelakon She Was Pretty itu didakwa menggunakan wang tersebut untuk melabur dalam mata wang kripto selepas membuat pinjaman sebanyak 800 juta won (RM 2.4 juta) menggunakan nama syarikat tersebut. 

Manakala baki wang digunakan untuk membayar cukai hartanah dan dan cukai tempatan miliknya menggunakan kad kredit.

Bagaimanapun, sepanjang perbicaraan berlangsung, Hwang mengaku bersalah atas semua pertuduhan namun telah melunaskan jumlah wang yang diseleweng melalui dua pembayaran berasingan iaitu pada 30 Mei dan 5 Jun hasil daripada penjualan aset peribadinya.

Oleh itu, peguam mewakili Hwang merayu agar mahkamah memberikan hukuman yang paling ringan, dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai pengetahuan mencukupi dalam bidang perakaunan dan undang-undang.

Kes kemudian ditangguhkan pada 25 September ini untuk keputusan rasmi. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN