PETALING JAYA: Kerajaan diminta mendedahkan nama syarikat dan individu terlibat terbabit dengan amalan ‘ali baba’ perolehan kerajaan.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, tindakan tersebut penting untuk menjamin ketelusan dan integriti dalam melibatkan proses perolehan awam.
Katanya, langkah sedemikian juga secara tidak langsung dapat mencegah pengulangan salah laku yang sama dalam sistem perolehan kerajaan.
“Langkah ini bukan bertujuan menghukum semata-mata, tetapi sebagai pencegahan agar syarikat lain tidak mengulangi kesilapan sama.
“Nama yang didedahkan juga memberi mesej jelas bahawa sistem baharu ini tidak lagi memberi ruang kepada manipulasi, kronisme atau permainan ‘ali baba’ dalam perolehan kerajaan,” katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.
Kelmarin, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican berkata, larangan berpindah tangan atau subkontrak tanpa izin yang sinonim dengan amalan ‘ali baba’ adalah satu kesalahan serius kerana menjejaskan integriti dan keadilan dalam proses perolehan kerajaan
Katanya, Akta Perolehan Kerajaan 2025 yang diluluskan di Parlimen Khamis lalu akan mengenakan tindakan punitif lebih tegas terhadap mana-mana pihak termasuk menteri yang terbabit dengan amalan ‘ali baba’ dalam perolehan kerajaan.
Sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan mengambil langkah mengehadkan kuasa pentadbiran melalui pembentangan RUU Perolehan Kerajaan 2025, yang bertujuan memperkukuh tatakelola.
Melaluinya, elemen semak dan imbang diperkukuh dengan keputusan perolehan, termasuk keputusan Menteri Kewangan boleh dicabar serta dikaji semula melalui proses Panel Kajian Semula, seterusnya Tribunal Rayuan Perolehan yang berkecuali, selain perkenalkan tindakan punitif atas ketidakpatuhan perolehan.
Dalam pada itu, Jais berkata, dengan adanya kepelbagaian tindakan termasuk pendedahan nama, Akta Perolehan Kerajaan 2025 mampu berfungsi sebagai instrumen yang menjaga kepentingan rakyat.
“Akta ini adalah satu reformasi penting bagi meningkatkan integriti dan ketelusan dalam sistem perolehan negara,” katanya. – UTUSAN










